'Human food' jadi trend di China, manusia makan ikut konsep pemakanan haiwan belaan
KESIBUKAN bekerja sehingga tiada masa untuk memasak bukan lagi alasan untuk kebanyakan anak muda di China memilih untuk makan makanan segera.
Mereka kini mencipta satu trend baharu iaitu kaedah penyediaan makanan secara 'pukal' (kuantiti banyak) yang memerlukan mereka memasak sekali seminggu sebelum menikmatinya setiap hari.
Trend ini dikenali sebagai 'makanan manusia' (human food).
Kedengaran pelik, trend yang semakin popular ini adalah inspirasi daripada konsep makanan haiwan peliharaan kerana menjimatkan masa, tenaga malah membolehkan generasi muda menyediakan hidangan lebih sihat.
Pemakanan sebegini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila ada menganggapnya sebagai penyelesaian terbaik untuk gaya hidup moden.

Konsep 'makanan manusia' ini adalah inspirasi daripada gaya hidup dan budaya 'tang ping'.
Gaya hidup itu merujuk kepada sikap melakukan sesuatu sekadar perlu untuk meneruskan kehidupan.
Menerusi kaedah tersebut, mereka akan membeli bekalan sayur-sayuran dan protein untuk beberapa hari atau seminggu, kemudian memotong, memasak dan membekukan setiap bahan secara berasingan.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
Antara bahan sering digunakan termasuk brokoli, lada benggala, cendawan, jagung, daging lembu, ayam dan udang.
Apabila tiba waktu makan, gologan muda hanya perlu mengambil sedikit daripada setiap bekas, mencampurkannya dan memanaskan semula menggunakan ketuhar gelombang mikro.
Tanda pagar #humanfood dilaporkan meraih lebih 5.4 juta tontonan di media sosial China, sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa terhadap aliran ini.
Bagi kebanyakan pekerja di bandar besar, konsep berkenaan menjadi jalan mudah untuk menguruskan pemakanan tanpa perlu memasak setiap hari.
Ramai berpendapat mereka tidak lagi perlu menghabiskan masa sehingga sejam di dapur hanya untuk menikmati makanan selama beberapa minit.

Selain golongan bekerja, trend itu turut menarik perhatian penggemar kecergasan kerana hidangannya menggunakan bahan segar diproses secara minimum serta tidak mengandungi terlalu banyak minyak atau perasa.
Malah, ada pengguna media sosial mendakwa berjaya menurunkan berat badan sebanyak dua kilogram selepas mengamalkan pemakanan tersebut selama lapan hari.
Trend itu turut mendapat perhatian pengkritik dan mendapati makanan dibekukan, dipanaskan semula boleh kehilangan tekstur serta rasa malah nilai nutrisi juga dipersoalkan.
Gaya hidup itu terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat China, tapi pastinya trend 'makanan manusia' ketara mencerminkan realiti kehidupan moden di bandar besar cukup mencabar.