Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
SETIAP individu pasti mempunyai petua apabila diri sendiri mahupun ahli keluarga diserang demam.
Walaupun keberkesanannya berbeza bagi setiap individu dan tidak boleh menandingi rawatan perubatan moden, amalan yang diwarisi sejak turun-temurun itu masih menjadi pilihan sesetengah masyarakat.
Begitu juga perkongsian seorang wanita di Threads yang mendedahkan petua neneknya yang dikatakan berkesan iaitu minum sarsi dapat membantu meredakan demam.

"Demam? Minum air sarsi, itu je petua opah aku dari kecil.
"Tak kisahlah 38 atau 39 darjah celsius. Janji ada sarsi sejuk, esok okay dah.
"Saintifik ke tak, tak tahu. Tapi sampai sekarang kalau demam otak automatik nak sarsi,” kongsi wanita itu.
Walaupun kebanyakan petua tidak disokong dengan kajian saintifik, ramai mengakui mereka turut mengamalkannya kerana mendakwa ia berkesan berdasarkan pengalaman sendiri.
Di ruangan komen, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa.
Ada yang menjelaskan petua minum sarsi bukanlah sesuatu yang asing kerana minuman itu dikatakan berasal daripada ekstrak akar sarsaparilla.
"Tok mung kena bare (kenal barang). Sarsi tu dari akar sarsaparilla.
"Kalau yang dimaksudkan dengan body heat tu rasa berangin, ramai orang percaya akar sarsaparilla boleh bantu sejukkan badan. Sebab tu di sesetengah tempat, orang dah lama minum akar ni sebagai teh atau minuman herba untuk kurangkan panas dalaman atau sejukkan badan.
"Eh... samalah, dulu kecil-kecil kalau demam atau sakit perut ke, arwah mak mesti bagi minum sarsi. Habis satu tin baiklah demam kami adik-beradik. Sekarang pun saya mesti minum sarsi kalau tak sedap perut," komen netizen.

Ada juga netizen berkongsi petua turun-temurun mengikut jenis penyakit.
"Demam = sarsi.
"Perut kembung/satu badan jadi lenguh-lenguh = Coke dalam tin.
"Selsema = sup Siam pedas-pedas.
"Sakit tekak = aiskrim vanila," kongsinya.
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
MENARIK DIBACA: 'Terbang' RM2,000, individu terkejut kena kompaun berniaga dari rumah - "Bau ayam goreng masuk rumah jiran"
Rata-rata tampil mendakwa minuman bergas itu sedikit sebanyak mampu membantu menyembuhkan simptom sakit.
"Migrain minum air Coke dalam tin. Opah member share lepas tu cuba menjadi! Lepas sendawa empat lima kali, lega dah 20 tahun buat begitu je.
"Sama. Kalau senggugut pun sama, minum sarsi tin tu paling mujarab. Tak tahulah memang kebetulan atau memang berkesan.
"Batuk pun minum sarsi sis. Sebab ubat batuk sendiri pun sarsaparilla,” antara komen netizen.
Sarsaparilla ialah minuman yang pada asalnya dibuat daripada akar pokok sarsaparilla, iaitu tumbuhan memanjat daripada genus Smilax.
Pada zaman dahulu, akarnya direbus untuk menghasilkan minuman herba yang dipercayai mempunyai pelbagai khasiat.
Minuman sarsi hari ini dikatakan sudah tidak menggunakan akar sarsaparilla sebaliknya menggunakan perisa tiruan atau campuran ekstrak semula jadi untuk menghasilkan rasa yang menyerupai sarsaparilla.
Ini lebih konsisten dan lebih murah berbanding menggunakan akar sebenar.