Buat makan-makan, rakan 'angkut' kaum kerabat datang dengan 7 kereta - "Habis makanan kami"
RAYA memang sinonim dengan sesi kunjung mengunjung, makan-makan dan berkumpul bersama ahli keluarga dan sahabat handai.
Bagaimanapun dalam keseronokan itu, tetamu juga perlu memikirkan kemampuan tuan rumah untuk menerima kunjungan terutamanya jika datang beramai-ramai dalam satu masa, termasuk soal makanan dan saiz ruang.
Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman 'mencemaskan' apabila rakan ibunya datang beraya membawa bersama keluarga besarnya tanpa sebarang pemberitahuan.
“Mak buat makan-makan raya kecil je, ajak keluarga dan kawan rapat.

“Tapi ada kawan dia (mak) bawa sampai tujuh kereta. Dah nak sampai baru bagitahu bawa kaum kerabat sekali,” kongsinya.
Katanya, walaupun saiz rumah agak luas dan mereka terbuka menerima kehadiran tetamu, suasana bertukar panik apabila makanan habis.
MENARIK DIBACA: Ketahui sebab Jepun tunjuk gambar petani pada sayur, buah-buahan ditanam dan dijual di pasar
MENARIK DIBACA: [V] Emelda masuk dapur sedia juadah hari raya, Adlin Aman Ramlie kata orang Jawa kena ada lontong
“Habis makanan kami, satu keluarga tak berhenti makan sampai saya berlari-lari ke dapur dan ke depan.
“Dah tambah baharu, terus kena serbu,” katanya lagi.
Dalam perkongsian lain, wanita itu turut mengimbas pengalamannya menghadiri sebuah kenduri kahwin bersama keluarga.
“Semasa pergi kenduri kahwin kawan mak, dia (kawan mak) ajak satu keluarga kami sebab rapat.

“Tapi masa sampai, sangatlah ramai. Makanan habis, air habis, tempat duduk tak ada. Majlis buat dekat dewan kecil kampung je.
“Lepas kenduri, kawan mak luah dia (kawan mak) tak jangka orang bawa saudara mara sekali.
"Ramai telefon kata bawa cucu menantu dan jiran tetangga. Takkan nak kata tak boleh,” katanya yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak tahu adab-adab menghadiri undangan majlis.
Wanita itu turut berkongsi satu lagi pengalamannya memenuhi undangan majlis rakan sekerja apabila bilangan tetamu meningkat tiga kali ganda berbanding jemputan asal.

Dia berpandangan budaya seperti ini adalah kurang sopan.
“Kita faham bukan semua berniat jahat, tapi adab sangat penting. Tak elok sangat datang lebih dari bilangan yang dijemput,” jelasnya.
Wanita itu dan keluarganya bagaimanapun belajar menerima situasi cemas itu dengan hati terbuka, walaupun makanan dan ruang tidak mencukupi sepenuhnya.
“Ya, kami sekeluarga belajar dari pengalaman dan ikhlaskan. Walaupun kuih dan pemanis mulut licin, kami bersyukur dapat rezeki tetamu,” katanya lagi.
