KUALI | Trending

Dulu makanan famili, kini jual beribu biji! Lemang periuk kera kekal eksotik di Aidilfitri

Lead Image

TUKANG masak merangkap pengusaha Tok Wan Umar Hamzah Lemang Periuk Kera dan Rendang Nismilan, Quratul Aini Othman tetap tenang menguruskan tempahan yang tidak putus-putus masuk menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, dia amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan apatah lagi membuka perniagaan lemang periuk kera ini langsung tidak pernah dirancang.

Perusahaan lemang periuk kera sejak lima tahun lalu mendapat sambutan meriah.

Memulakan cerita, wanita ini bekata perniagaan bermula sekitar lima tahun lalu dengan lemang periuk kera sebelum itu sekadar menjadi hidangan keluarga setiap kali musim perayaan.

"Dulu mommy (ibu) buat untuk makan sendiri saja, dalam lima ke enam kilogram (kg) untuk keluarga bawa pulang ke rumah masing-masing.

"Lepas habis belajar saya cakap dengan mommy nak cuba komersialkan lemang periuk kera ni dan Alhamdulillah menjadi,” katanya ketika ditemui Kuali.

Kepala santan pada lemang periuk kera menambah kelazatan.

Laku keras

Tanpa disangka-sangka, percubaan pertama secara besar-besaran pada 2020 terus 'meletup' apabila hampir 100kg lemang dihasilkan (1,800 biji) hanya dalam tempoh tiga hari tempahan dibuka sebelum sambutan Aidilfitri. 

Disebabkan sambutan yang diterima amat luar biasa, seluruh ahli keluarga terpaksa dikerahkan untuk turun padang bagi menyiapkan tempahan.

Ketika itu, adiknya yang bertanggungjawab mencuci kelongsong periuk kera 'trauma' setiap kali mendengar bunyi telefon berdering yang menandakan jumlah tempahan bertambah.

"Proses cuci kelongsong bukanlah mudah sebab perlu melalui tiga fasa cukup renyah iaitu merendam dan menggosok dengan berus gigi, memotong bahagian keliling dan akhirnya dibilas satu persatu di bawah air paip mengalir.

"Kalau ada 10,000 biji kelongsong, semua kena buat satu-satu sampai habis dan prosesnya berterusan setiap hari.

"Ayah juga tak terkecuali apabila terpaksa ‘berkampung’ di dapur sehingga tekanan darah naik sebab uruskan bahagian mencuci kelongsong,” jelas ibu kepada dua anak itu.

Santan dimasak dituang satu demi satu.

Rahsia kesedapan

Menurut Quratul Aini, rahsia keenakan lemang periuk kera yang dihasilkan terletak pada kepala santan yang melapisi lemang itu.

Jelasnya, tekstur santan yang tidak berbuih membuktikan bahan itu dimasak dengan baik menggunakan resipi rahsia tambahan yang diturunkan oleh arwah datuknya. 

"Penggunaan santan dalam lemang periuk kera sangat penting dan tak boleh terlebih untuk elak rasa cepat muak. Ada teknik khas dapatkan kepala minyak pada lemang dengan rasa lemak wangi.

"Kalau nak lemang tak cepat basi dan tahan lama santan kena masak betul. Jadi setiap kali masak cuma dalam 8kg.

"Jika habis, mommy akan masak lagi santan dan berulang sehingga keesokan hari," ujarnya.

Proses rumit

Disebabkan prosesnya rumit dengan penggunaan bahan mentah berkualiti dan eksotik, tidak hairanlah harga lemang periuk kera lebih mahal berbanding lemang biasa.

"Kelongsong sahaja satu cecah RM0.60, belum masuk kos beras pulut susu dan santan segar.

"Jika ada yang bertanya tentang kos, ini tak termasuk lagi tenaga diperlukan untuk mencuci dan memasak," katanya yang menjual lemang periuk kera pada harga RM45 sebekas. 

Proses menggosok kelongsing periuk kera perlu teliti.

Rasa berbeza 

Keistimewaan lemang periuk kera bukan sahaja terletak pada cara penyediaannya, malah pada tekstur dan rasanya yang unik.

Beras pulut yang dimasak dalam kelongsong dari alam semula jadi itu menghasilkan aroma hutan yang tak keterlaluan dengan santan meresap dalam pulut lembut.

"Berbeza dengan lemang buluh, lemang periuk kera memberikan sensasi rasa lebih 'ringan' tetapi tetap berlemak, menjadikannya pilihan istimewa untuk dinikmati bersama rendang atau dimakan begitu sahaja," kongsinya lagi. 

Proses penghasilkan lemang periuk kera sangat teliti.

Tempahan meningkat

Mengenai tempahan, katanya, dalam sehari, mereka mampu menghasilkan sekitar 40kg hingga 50kg lemang sehingga Aidilfitri tiba, sebelum berehat seketika dan menyambung semula operasi untuk menyiapkan tempahan Aidiladha.

Untuk tahun ini sahaja, jumlah tempahan yang diterima sudah melebihi 10,000 biji, satu angka cukup membanggakan bagi sebuah perniagaan keluarga.

"Permintaan selepas raya tak kurang hebat sebab syarikat tempah untuk majlis rumah terbuka korporat. Pesanan pula dibuat dalam kuantiti besar melebihi lima kilogram satu pesanan.

"Jadi, boleh dikatakan tempahan diterima sejak lima tahun lalu tak putus sehingga jejak musim perayaan Aidiladha," katanya yang turut menjual rendang berasaskan masakan Negeri Sembilan.

Kelongsong periuk kera diambil dari Melaka.

Bekalan, penjagaan kelongsong periuk kera

Dari segi bekalan pula, Quratul Aini memperolehinya dari pembekal di Melaka dan tiada masalah untuk mereka mendapatkan stok periuk kera kerana ia tumbuh meliar di hutan.

“Malah kalau tak ambil, periuk kera tu akan mati sendiri selepas dua hingga tiga minggu,” kongsi graduan diploma jurusan perniagaan itu.

Proses menggosok kelongsing periuk kera perlu teliti.

Namun begitu, penjagaannya selepas dipetik sangat penting kerana ia amat sensitif dan mudah layu jika tidak disimpan dalam suhu sejuk.

Bagi memastikan kualiti terjaga, mereka menyimpan kelongsong dalam kotak ais selain tidak menggunakan mana-mana kelongsong yang koyak.

“Pernah dapat puluhan koyak, tapi kami tak guna sebab nak jaga kualiti,” katanya tegas.

Bungkusan lemang periuk kera didatangkan dalam dua saiz iaitu satu kilogram dan 500 kilogram.

Secara keseluruhan, proses memasak lemang periuk kera mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja, cukup untuk memastikan beras pulut dan santan masak sempurna serta sebati.

Di sebalik segala kepenatan dan cabaran, Quratul Aini mengakui kepuasan melihat pelanggan menikmati lemang periuk kera hasil air tangannya menjadi motivasi utama untuk terus bertahan dalam perniagaan ini.

"Walaupun renyah, keunikan rasa dan pengalaman menikmati lemang dalam ‘periuk semula jadi’ ini menjadikan hidangan ini sentiasa diburu setiap kali musim perayaan," kongsinya.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Jaga pemakanan, jangan sampai terkena 5 penyakit popular musim raya

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Belanja RM1,500 untuk 'jajan' anak buah jadi tradisi raya, keluarga gembira adalah 'bahagia' sebenar!

Terhangat