Roti canai dilabel makanan kasta rendah, lelaki hilang selera dengar alasan bos
POPULAR sebagai sarapan atau makan malam santai, roti canai antara menu tempatan digemari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Namun baru-baru ini, hidangan kegemaran ramai itu menjadi perdebatan hangat kerana didakwa sebagai makanan ‘kasta rendah’, sekali gus mencetuskan kemarahan netizen.
Isu itu tular selepas seorang pengguna platform media sosial dan forum perbincangan, berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika makan malam bersama bos dan seorang klien dari India.
Menurut seorang lelaki dikenali Abdul Samri, dia membawa bos dan klien tersebut ke sebuah restoran barat mewah, namun klien berkenaan tidak berpuas hati dan berkeras untuk menukar lokasi makan berbeza.

"Majikan saya mahu bawa klien berkenaan ke kedai lebih berselara tempatan, jadi mereka ke mamak berdekatan.
"Saya memesan dua keping roti canai, sedang asyik makan klien berkenaan beritahu hidangan ini sebenarnya untuk golongan bawahan atau hamba semasa era penjajahan British," kongsinya.
Tulis lelaki ini, klien tersebut melabelkan roti canai sebagai makanan murah berasaskan bahan berkualiti rendah seperti tepung, selain membandingkannya dengan tosai dianggap lebih ‘tinggi darjat’ bahkan dikaitkan dengan golongan berkasta lebih tinggi.
MENARIK DIBACA: [V] 90 minit rentasi zaman Dinasti China, Xuyan Immersive Dining gabung seni dan makanan
MENARIK DIBACA: Kepala hampir botak akibat rambut gugur, 2 bahan ini kembalikan keyakinan anda
Tidak selesa dengan kenyataan berkenaan, lelaki ini berhenti memakan roti canai dan memilih untuk memesan laksa Penang.
Perkongsian tersebut pantas menjadi tular dan mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial.
Rata-rata netizen mengecam dakwaan itu dan menganggapnya sebagai pandangan lapuk serta berunsur diskriminasi kasta.

Seorang netizen menegaskan mentaliti sedemikian tidak wajar dibawa ke Malaysia kerana negara ini mengamalkan kehidupan masyarakat berbilang kaum.
“Jika roti canai dianggap makanan kelas rendah, saya tidak mahu menjadi kelas atasan,” kata seorang netizen.
Roti canai disifatkan sebagai simbol keterangkuman dan makanan yang dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau status sosial.
