Dari manok pansuh hingga kek lapis, Serumpun Sarawak hidang sajian autentik Bumi Kenyalang
MENGHANGATKAN sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Hotel Le Meridien, Petaling Jaya membawakan secara eksklusif sajian merentasi Laut China Selatan dari Sarawak khusus untuk pelanggan istimewa di sekitar kawasan Lembah Klang.
Serumpun Sarawak mengetengahkan sajian dengan elemen tradisi masakan Borneo itu boleh didapati dari 31 Ogos sehingga 16 September 2025 ini.
Pihak hotel turut menerbangkan cef yang juga pemenang anugerah masakan dari Sarawak, Chef Ramos Jalang Nyawai berkolaborasi dengan Chef Eksekutif Le Meridien, Aris Fadilah menghasilkan hidangan eksklusif Sarawak dengan gabungan tradisi, autentik dan moden.

Sepanjang promosi Serumpun Sarawak itu berlangsung, sebanyak 10 jenis hidangan bakal menjadi pilihan santapan buat pelanggan yang mahu merasai sendiri pengalaman menikmati juadah yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Menurut Chef Ramos, selain memperkenalkan keunikan makanan tradisi dari Bumi Kenyalang, Serumpun Sarawak juga bertujuan untuk memberi peluang dan pengalaman kepada mereka yang tidak pernah merasai sendiri keenakan santapan dari negeri tersebut.
MENARIK DIBACA: [V] Puding roti cokelat pisang lembut dan enak, sedap dimakan sejuk-sejuk!
MENARIK DIBACA: [V] Liza Hanim jaga pemakanan keluarga, percaya penentu kesihatan pada masa depan
"Melalui Serumpun Sarawak ini, kami ingin memberi peluang serta pengalaman kepada orang ramai khususnya dari Semenanjung Malaysia untuk merasai sendiri makanan khas dari negeri Sarawak.
"Misi kami bukan sekadar untuk memperkenalkan, tetapi juga makanan-makanan tradisi yang diperkenalkan ini diwarisi oleh generasi muda hari ini," Chef berusia 28 tahun itu.
Menurut cef muda asal Kuching itu lagi, ada beberapa hidangan yang disajikan memang agak asing dalam kalangan penduduk luar dari Sarawak.

Malah, bahan atau ramuan yang digunakan dalam masakan juga sangat jarang digunakan dalam masakan di semenanjung.
"Contohnya seperti hidangan Nasi Goreng Dabai.
"Beras yang kami gunakan adalah beras dari Bario yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak, khsusnya di daerah Miri.
"Selain itu, kami juga ada menggunakan bahan masakan dikenali sebagai dabai. Tidak ramai tahu terutamanya dari semenanjung tentang dabai yang turut digelar zaitun hitam (black olive) dari Sarawak," katanya.

Bercakap lebih lanjut, Ramos turut berkongsi antara keunikan bahan yang digunakan dalam masakan Sarawak antaranya seperti penggunaan tepus dan daun bungkang.
Sekadar info, tepus atau juga dikenali sebagai tuhau merupakan sejenis ulaman beraroma yang popular di bahagian Sarawak dan Sabah. Bentuknya seakan halia namu memiliki rasa masam.
"Ramai tidak perasan tepus dan daun bungkang ini ada digunakan dalam hidangan manok pansuh.
"Jadi itulah keunikan yang cuba untuk kami kongsikan kepada anda semua," jelasnya.

Antara santapan unik yang bakal disajikan adalah seperti berikut:
- Laksa Sarawak (RM65)
- Bario Dabai Fried Rice & Wagyu Beef (RM98)
- Wagyu Beef Tepus (RM128)
- Crispy Sarawak Terubuk (RM78)
- Manok Pansuh/Pansuh Ayam (RM68)
- Kerabu Midin (RM25)
- Terong Asam Soup With Smoked Ikan Lumek (RM38)
- Sambal Terong Asam (RM18)
- Kek Lapis Sarawak (RM25)
- Cream Caramel Gula Apong (RM25)

Jadi kepada anda yang mahu merasai sendiri pengalaman menikmati sajian istimewa dari Sarawak bersempena promosi Serumpun Sarawak, boleh datang ke PJ’s Bar & Grill, Level 30, Hotel Le Meridien, petaling Jaya.
Pelanggan boleh juga menghubungi talian 010-216 3690 untuk tempahan dan maklumat lanjut mengenai promosi tersebut.