Evertts Gomes suka masuk dapur sejak kecil, intai rahsia masakan ibu - "Selalu juga kena marah, dihalau"
SEJAK berusia sembilan tahun, pelakon meningkat naik Evertts Gomes sudah dididik ibunya untuk ke dapur dan belajar memasak sebagai salah satu asas kemahiran hidup.
Malah tanpa disuruh, pelakon berusia 28 tahun itu sendiri mengakui memang suka memasak dan sering masuk dapur untuk mengintai rahsia keenakan masakan ibunya yang dikatakan 'penuh kasih sayang'.
Menurut Evertts, semasa kecil dia pernah diberitahu ibunya bahawa masakan di rumah mempunyai rahsia tersendiri berbanding makanan dijual di luar.

"Saya mula belajar memasak sejak kecil, sekitar usia sembilan tahun lagi sebab ibu saya percaya, orang lelaki juga perlu tahu memasak.
"Walaupun tanpa disuruh, saya memang selalu teman ibu di dapur sebab nak tahu rahsia masakannya.
"Sebab ibu pernah kata, makanan dibeli di luar tidak sama dengan masakan di rumah kerana ada ramuan rahsia yang digunakan iaitu 'cinta'. Jadi saya nak tahu macam mana dia letakkan kasih sayang itu dalam masakan," katanya.
Meskipun dididik untuk belajar memasak, Evertts berkata ada waktunya dia akan 'dihalau' ibunya kerana dianggap mengganggu gara-gara terlalu kerap berada di dapur.
"Mungkin kerap sangat berada di dapur, selalu juga saya dimarahi dan 'dihalau' keluar kerana dianggap menggangu," ujar anak jati kelahiran Sabah itu.
MENARIK DIBACA: Subur, gemuk-gemuk! Bayam tumbuh berselerak di kebun Farah Ahmad buat ramai 'geram'
MENARIK DIBACA: [V] Adam Corrie jatuh cinta dengan rendang ayam isteri, tambah nasi 3 kali
Bercerita tentang selera dan 'lidah orang Sabah', Evertts yang telah 10 tahun berhijrah sejak 2016 mengakui tidak tahan dengan tahap kepedasan di semenanjung.
Kata pelakon Kudrat 1968 itu, di Sabah terdapat pelbagai jenis cili, namun tidak dapat mengatasi rasa pedas makanan yang ada di semenanjung.
"Di Sabah kami ada pelbagai jenis cili, termasuk cili warna putih, kuning dan ungu.
"Tapi rasanya tidak sepedas cili yang ada di semenanjung.
"Jadi saya boleh katakan masakan di sini (semenanjung) sebenarnya jauh lebih pedas," kata lelaki berdarah kacukan Cina, Kadazan Dusun dan Portugis itu.

Bagaimanapun, bekas finalis pertandingan Hero Dewi Remaja 2023 itu tetap menyukai masakan pedas, walapun memiliki masalah perut sensitif.
"Saya suka pedas walaupun perut akan 'meragam'. Jadi saya akan elakkan makan masakan pedas ketika ada penggambaran.
"Sebab saya tidak mahu susahkan krew dan pelakon lain," jelas penggemar ambuyat itu.