Terliur tengok pempengaruh Hadi Salleh makan sambal tahi minyak, syukur siap kongsi resipi sekali!
SAMBAL tahi minyak boleh dikategorikan sebagai hidangan tradisional unik malah cukup jarang dapat ditemui kerana proses pembuatannya yang mengambil masa lama.
Tahi minyak digunakan dalam menu ini bukan kerana kotor seperti panggilannya tetapi ia merujuk kepada ampas kelapa yang terhasil selepas santan dimasak lama hingga mengeluarkan minyak.
Proses ini menghasilkan minyak kelapa asli dan meninggalkan sisa berwarna perang keemasan dikenali sebagai tahi minyak yang rangup, berlemak dan beraroma tinggi.
MENARIK DIBACA:Sotong masak hitam stail utara memang juara, dakwatnya kunci keenakan rasa
MENARIK DIBACA: Nasi lemak kampung beza rasanya, rahsianya 'peram' pakai surat khabar dan daun pisang baru padu
Pempengaruh masakan Hadi Salleh, berkongsi resipi turun-temurun ini di media sosial miliknya sehingga membuatkan ramai teringin mencuba hidangan yang dihasilkan.
Melalui video masakannya, Hadi memberitahu dia tak pernah jemu dengan resipi ini kerana rasanya cukup enak dan menghidupkan semula memori zaman kecilnya.
Kongsinya, sambal tahi minyak juga lazat dimakan dengan ikan goreng dan nasi putih panas.
Betul ke sedap? Jom cuba sediakan sendiri hidangan klasik yang jarang diketengahkan ini!
Bahan-bahan
- Santan segar (3 biji kelapa)
- 2 ikat pucuk ubi
- 1 cawan terung pipit celur
- 1 cawan petai
- 1 cawan belimbing buluh
- 1 cawan ikan bilis
- Bendi
- Sedikit hirisan daun kunyit
Bahan dikisar
- 50 tangkai cili kampung
- 3 tangkai cili merah besar
- 5 ulas bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit hidup
- 2 batang serai
- 5-6 ulas biji keras
Cara penyediaan
- Masak santan sehingga 40 minit menggunakan api perlahan, kacau tanpa henti sehingga keluar tahi minyak keperangan. Jangan buang minyak.
- Tapi masuk dalam kuali digunakan untuk memasak sambal.
- Sediakan bahan-bahan tumis dan masuk dalam baki minyak tadi. Goreng sampai pecah minyak.
- Masukkan bendi dipotong kecil, ikan bilis digoreng garing bersama tahi minyak, gaul rata lalu masak sehingga pecah minyak sekali lagi.
- Tambah santan (satu biji) dan tambah perasa. Selepas pekat, masuk masuk pucuk ubi dicelur, terung pipit, petai dan hirisan daun kunyit.
- Gaul lagi sehingga rata dan biarkan seketika. Angkat dan boleh dihidangkan bersama ikan goreng serta nasi panas.