Sotong masak hitam stail utara memang juara, dakwatnya kunci keenakan rasa
ORANG utara sememangnya terkenal dengan cita rasa masakan yang kaya dengan rempah dan rasa pekat manis.
Salah satu hidangan yang menjadi kegemaran ramai ialah sotong masak dakwat atau lebih dikenali sebagai sotong masak hitam.
Walaupun rupanya nampak sederhana hanya sotong dimasak dengan kuah hitam tapi jangan tertipu ya.
Rasanya cukup luar biasa, sedap hingga menjilat jari dan mampu membuat sesiapa saja yang mencuba pasti mahu lagi.

Keunikan masakan ini terletak pada penggunaan sotong yang tidak dibersihkan sepenuhnya iaitu dakwatnya dibiarkan bersama.
Inilah rahsia utama menjadikan kuahnya berwarna hitam pekat, cukup beraroma dan ada rasa manis tersendiri.
Sotong masak hitam ini enak dimakan bersama nasi putih panas dan kadangkala dihidangkan sebagai lauk istimewa di kenduri atau majlis keluarga.
Tak hairanlah walaupun ringkas, hidangan ini terus kekal popular dan disukai ramai bukan saja orang utara, tapi seluruh Malaysia!
MENARIK DIBACA: Jangan tunggu dah rabun baru nak bertindak, amal terung pipit jaga kesihatan mata
MENARIK DIBACA: Nasi lemak kampung beza rasanya, rahsianya 'peram' pakai surat khabar dan daun pisang baru padu
Bahan-bahan
- 500g sotong segar (simpan dakwat sotong)
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3–5 biji cili padi
- 1 inci halia
- Garam & gula secukup rasa
- Sedikit asam jawa
- Sedikit serbuk kunyit
- Daun kari
- Minyak
- Air secukupnya
Langkah penyediaan
- Bersihkan sotong dan jangan buang dakwat hitam, simpan tepi (boleh campur air sikit untuk cairkan nanti).
- Kisar halus bawang merah, bawang putih, halia dan cili padi.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik bau wangi dan sedikit garing.
- Masukkan daun kari dan tumis sekejap.
- Masukkan air asam jawa dan dakwat sotong tadi dan masak sehingga pecah minyak dan kuah jadi pekat gelap.
- Masukkan sotong gaul rata. (Sotong cepat masak jadi jangan lama sangat nanti liat).
- Perasakan dengan garam, gula dan sedikit serbuk perasa sekiranya suka.
- Masak sampai kuah likat pekat melekat. Siap!