Harga cekik darah kalau beli di festival makanan, tak susah pun buat puding pisang!
KEENAKAN puding pisang semakin menambat hati ramai, apatah lagi apabila ia kini menjadi pencuci mulut trend di pelbagai gerai, kafe dan jualan vendor.
Kombinasi lapisan biskut rangup, lelehan krim lembut serta pisang ranum manis menjadikan pencuci mulut ini digemari ramai maka wajarlah ramai jatuh hati bermula suapan pertama.
Tapi daripada asyik membeli dengan harga yang tidak masuk akal, apa kata anda cuba hasilkan sendiri di rumah?

Bukan saja lebih jimat, malah anda boleh kawal rasa, tekstur dan kualiti mengikut cita rasa sendiri.
Menariknya, ada beberapa tip rahsia untuk menjadikan puding pisang anda lebih lembut, wangi dan berkrim malah rasanya boleh menyaingi puding yang dijual di kedai premium.
MENARIK DIBACA:Rahsia waffle rangup di luar gebu di dalam tanpa bahan penaik
MENARIK DIBACA: Nasi lemak kampung beza rasanya, rahsianya 'peram' pakai surat khabar dan daun pisang baru padu
Gunakan pisang cukup masak tetapi tidak terlalu lembik serta kastard buatan sendiri bukan yang segera.
Kastard diperbuat daripada telur, susu segar dan gula memberikan rasa yang lebih ‘homemade’ serta bertekstur lemak berkrim.
Bahan-bahan
Untuk krim kastard
- 2 cawan susu segar penuh krim
- 1/2 cawan susu pekat manis (ikut tahap kemanisan yang disukai)
- 2 sudu besar tepung kastard
- 1 sudu besar tepung jagung
- 1/2 sudu kecil esen vanila
- Sejemput garam
- 1 sudu besar mentega
- Lapisan
- 3-4 biji pisang (pilih yang ranum dan manis dihiris nipis)
- Biskut Marie / Biskut shortbread / biskut vanilla wafer
- Whipping cream
Cara penyediaan
- Untuk sediakan kastard, campurkan susu segar, susu pekat, tepung kastard, tepung jagung dan garam dalam periuk.
- Kacau sebati dahulu sebelum hidupkan api. Masak atas api sederhana sambil kacau tanpa henti sehingga pekat dan berkilat.
- Masukkan mentega dan esen vanila, kacau sebati. Tutup api dan biarkan suam.
- Dalam bekas hidangan, mula dengan lapisan biskut, diikuti hirisan pisang, kemudian tuang kastard suam. Ulang sehingga habis bahan. Akhir sekali boleh paipkan whipping cream di atas.
- Simpan dalam peti sejuk minimum 4 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih sebati dan tekstur lebih padu.