KUALI | Pastri
Senang betul buat biskut mochi pandan, guna microwave pun boleh!

SEJAK kebelakangan ini, mochi menjadi kegilaan masyarakat Malaysia sehingga muncul pelbagai versi dalam menarik perhatian penggemar pencuci mulut dari Jepun ini.
Alang-alang tengah viral, apa kata cuba buat sendiri biskut mochi berperisa pandan! Memang sedap kalau dimakan bersama secawan kopi panas.
Keunikan gabungan rasa antara biskut ini juga sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut dalam majlis keramaian, mahupun dijadikan buah tangan moden eksklusif buat orang tersayang.
Bahan-Bahan
Mochi
- 65g tepung pulut
- 125g air
- 25g gula
- 25g mentega tanpa garam
Biskut pandan
- 320g tepung serbaguna
- 80g gula pasir
- 100g gula perang
- 200g mentega tanpa garam
- 2g garam
- 5g ekstrak vanila
- 3g serbuk penaik
- 2g soda penaik
- 110g telur
- 5g ekstrak pandan
Langkah penyediaan
Mochi
- Masukkan semua bahan dan panaskan dalam ketuhar selama satu minit.
- Kemudian, keluarkan bahan dipanaskan kacau sehingga sebati. Panaskan sekali lagi dalam ketuhar selama satu minit.
- Masukkan mentega tanpa garam dan gaul rata. Ketepikan dan biar sejuk.
Biskut Pandan
- Panaskan ketuhar pada suhu 180°C. Sangai tepung selama 15 minit. Biarkan sejuk sepenuhnya.
- Dalam mangkuk berlainan, masukkan mentega telah dilembutkan bersama gula. Gaul rata.
- Masukkan dua biji telur, garam dan ekstrak vanila. Kacau sebati.
- Ayak tepung, soda penaik dan serbuk penaik ke dalam adunan.Tambah ekstrak pandan lalu gaul sebati.
- Rehatkan doh selama 30 minit. Kemudian, bahagikan doh kepada 25g setiap satu.
- Kemudian, salut 5g mochi menggunakan doh sudah dibahagikan. Ulang langkah ini sehingga doh habis. Bakar dalam ketuhar selama 12 minit.
- Keluarkan mochi, biar sejuk selama 5 minit lalu dan sedia untuk dihidangkan.