Kacang kuda bantu atasi masalah sakit belakang wanita
BIASANYA kacang kuda dimakan begitu sahaja atau dijadikan bahan asas dalam hidangan popular seperti hummus dan falafel.
Kacang kuda bersifat rendah lemak tepu, sifar kolesterol dan gula tetapi tinggi kandungan vitamin B6, protein dan serat.
Namun ramai tidak tahu pengambilan kacang kuda sebenarnya memberi kelebihan dalam menjaga kesihatan terutamanya buat kaum wanita.
Ini termasuk dalam menjaga kestabilan otot selain mengurangkan risiko sakit belakang.
Kacang kuda juga dapat membantu dalam menyokong kesihatan tulang dan otot belakang lebih di samping meningkatkan kesejahteraan tubuh wanita secara keseluruhan.

1. Menyokong kekuatan otot dan saraf
Kacang kuda mengandungi protein tumbuhan berkualiti tinggi dan magnesium penting dalam pembentukan dan pemulihan tisu otot.
Magnesium juga membantu mengendurkan otot tegang bahkan membantu mengurangkan kekejangan menjadikan kacang ini penting bagi individu mengalami sakit belakang akibat tekanan fizikal.

2. Cegah keletihan dan lemah otot akibat anemia
Wanita lebih berisiko mengalami anemia atau kekurangan zat besi terutamanya ketika haid.
Keadaan ini mengakibatkan wanita mengalami keletihan otot dan postur tubuh lemah lalu menambah tekanan pada tulang belakang.
Kacang kuda menjadi sumber zat besi dan folat membantu meningkatkan penghasilan sel darah merah dan tenaga tubuh.

3. Menyokong keseimbangan hormon wanita
Kacang kuda mengandungi phytoestrogen, sebatian tumbuhan mempunyai kesan seperti hormon estrogen.
Estrogen berperanan penting dalam mengekalkan kepadatan tulang dan kekurangan hormon ini selepas menopaus boleh meningkatkan risiko osteoporosis juga sakit belakang.
Pengambilan kacang kuda secara berkala dapat membantu menyeimbangkan hormon dan melindungi tulang wanita.

4. Meningkatkan kepadatan tulang
Kacang kuda turut membekalkan tiga mineral penting iaitu kalsium, fosforus, dan zink dalam pembentukan dan penyelenggaraan tulang kuat.
Kombinasi nutrien ini membantu mencegah kehilangan kepadatan tulang sering berlaku seiring usia dalam kalangan wanita.

5. Bantu kawal berat badan dan tekanan tulang belakang
Kandungan serat tinggi dalam kacang kuda membantu memberikan rasa kenyang lebih lama sekaligus menyokong pengurusan berat badan sihat.
Berat badan berlebihan boleh memberi tekanan tambahan pada tulang belakang, jadi diet seimbang dengan kacang ini membantu mengurangkan beban secara semula jadi.