Simpan bawang dalam peti ais sebelum dipotong, ‘confirm’ air mata tak lagi mengalir
BAWANG cukup sinonim dengan 'air mata'.
Bukan kerana sayur ini 'menyedihkan' tetapi kerana ramai yang menitiskan air mata ketika memotong atau menghiris bawang.
Fenomena ini terjadi akibat rasa pedih di mata disebabkan oleh bahan kimia yang dilepaskan oleh bawang dikenali sebagai lakrimatori.
Apabila sel bawang pecah, enzim yang terkandung di dalamnya mudah meruap daripada cecair menjadi gas, yang kemudian menyebabkan iritasi pada mata.
Untuk mengurangkan masalah ini, berikut empat petua penting yang boleh diamalkan ketika memotong bawang:-

1. Sejukkan bawang terlebih dahulu
Suhu rendah akan merencatkan enzim dalam bawang, sekali gus menghalang gas daripada terus terlepas ke udara.
Sebaiknya, bawang yang sudah dikupas perlu disimpan dalam peti sejuk selama satu hingga dua jam sebelum dipotong.
Kaedah ini sangat berkesan, lebih-lebih lagi jika mahu memotong bawang dalam kuantiti yang banyak.

2. Gunakan pisau yang tajam
Salah satu punca utama menangis ketika memotong bawang adalah kerosakan sel bawang secara agresif.
Lebih banyak sel yang rosak, maka lebih banyak gas penyebab mata pedih dilepaskan.
Oleh itu, gunakan pisau yang tajam supaya potongan menjadi bersih dan mengurangkan kerosakan sel bawang.

3. Pastikan arah potongan betul
Walaupun nampak remeh, elakkan memulakan potongan dari bahagian akar bawang.
MENARIK DIBACA: Enam jenis rempah ‘mat salleh’ ini cukup serasi dengan masakan tempatan
MENARIK DIBACA: Kandungan gulanya 2 kali ganda, ramai tak tahu ‘cheese leleh’ bukannya keju asli
Bahagian akar mengandungi kepekatan bahan sulfur yang paling tinggi. Sebaiknya, mulakan potongan dari hujung bertentangan, kemudian secara perlahan-lahan potong menuju ke akar.
Potong dengan perlahan, tidak terlalu laju dan jangan tekan bawang dengan kuat. Ini dapat mengurangkan gas tersebar ke udara.

4. Gunakan air
Ada juga petua tradisional iaitu merendam hirisan bawang dalam air sebelum dipotong. Ia bertujuan untuk mengurangkan sebahagian gas daripada menguap.
Malah potong bawang dengan air mengalir juga berkesan, namun teknik tersebut berisiko menyebabkan kecederaan memandangkan permukaan bawang licin.
5. Kawal aliran udara
Akhir sekali, letakkan kipas menghala ke ventilasi atau sisi kawasan pemotongan bawang bagi mengelakkan gas memasuki mata.