5 jenis tanaman mudah 'hidup' di dapur, tak payah beli boleh petik kalau nak masak
MEMASAK di rumah sememangnya lebih sihat dan jimat.
Tapi kadang-kadang bila nak masak, ada saja bahan-bahan penting seperti daun limau purut, serai atau cili tiba-tiba kehabisan stok!
Nak keluar beli pulak kadang tak sempat atau malas.
Jadi, kenapa tidak cuba tanam sendiri beberapa pokok yang selalu guna dalam masakan di rumah?
MENARIK DIBACA: Ada rahsia putihkan baju kusam guna bahan di dapur! Cuka dan lemon antara paling berkesan
MENARIK DIBACA:Jangan panik! Madu dan minyak kelapa berkesan rawat tangan melecur terkena minyak panas
Selain jimat duit dan masa, ada kepuasan tersendiri bila hasil tanaman sendiri yang digunakan dalam masakan.
Tak nak tanam di kawasan luar rumah pun tak apa sebab tanaman ini juga boleh hidup subur jika tanam di dapur.
Kuali kongsikan 5 pokok mudah ditanam di rumah sesuai untuk semua yang suka memasak tak kira baru belajar atau dah pro.

1. Cili
Cili adalah bahan wajib dalam kebanyakan masakan Malaysia dari sambal, kari hingga nasi goreng.
Cili padi atau cili besar, dua-duanya sangat mudah untuk ditanam di rumah kerana tidak memerlukan penjagaan rumit, cuma perlu cukup cahaya matahari dan siraman air secara konsisten.
Kelebihan cili adalah ia cepat berbuah dan kita boleh tuai cili segar bila-bila masa.
Jadi, tak perlu risau lagi kalau stok cili habis sebab boleh petik sendiri dari pokok depan rumah.

2. Daun limau purut
Daun limau purut adalah rahsia utama dalam banyak resipi popular seperti tomyam, rendang dan masak lemak.
Bau daun limau purut yang wangi memang tak dapat digantikan dengan bahan lain.
Pokok daun limau purut mudah dijaga dan tahan lasak.
Kalau tanam di dalam pasu, pastikan pokok cukup cahaya atau diletakkan pada tingkap dan dipangkas sedikit untuk elak terlalu rimbun.
Bila perlu, boleh terus petik daun segar dan masukkan ke dalam masakan untuk rasa asli dan segar.

3. Serai
Serai memang penting dalam pelbagai masakan seperti tomyam, gulai dan nasi goreng.
Pokok serai sangat senang untuk hidup di rumah.
Selain boleh tanam terus atas tanah, serai juga boleh ditanam dalam pasu.
Serai memerlukan air yang cukup dan cahaya matahari yang baik.
Apabila ia tumbuh besar, serai boleh dipetik secukupnya untuk digunakan dan pokoknya akan terus tumbuh semula.
Jadi tak perlu risau kalau dah habis serai bila tengah masak.

4. Daun bawang/kucai
Daun bawang atau kucai memang wajib ada dalam banyak hidangan seperti sup, mi goreng dan cucur.
Tanam daun bawang pun sangat mudah, boleh guna semula bahagian akar dari daun bawang yang dah beli di pasar.
Pokok ini cepat tumbuh dan boleh dituai berkali-kali.
Sesuai sangat kalau anda mahukan pokok yang tak banyak masalah dan boleh ditanam dalam pasu kecil dekat dapur atau balkoni.

5. Pandan
Pandan bukan sahaja digunakan untuk buat kuih-muih, tapi juga untuk menambah aroma wangi dalam nasi lemak dan pelbagai minuman.
Tanam pandan di rumah juga sangat mudah dan ia mudah tumbuh di tempat lembap serta mudah subur sekiranya cukup air.
Walaupun daun pandan agak lebar dan perlukan sedikit ruang, manfaatnya sangat besar.
Daun pandan boleh dipetik bila-bila masa dan digunakan segar dalam masakan anda.