KUALI | Nutrisi

Berbuka dengan juadah gorengan memang sedap, tapi awas risiko ketika perut kosong

Lead Image

SEPANJANG Ramadan, juadah berasaskan gorengan seakan menjadi sajian wajib untuk berbuka puasa. 

Juadah gorengan panas seperti tauhu, cucur udang karipap dan popiah antara pilihan ramai kerana aroma dan rasanya menyelerakan selepas seharian menahan lapar.

Namun, pengambilan juadah berasaskan gorengan sebenarnya boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan kerana kandungan lemak tinggi. 

Juadah goreng seperti tauhu juga tidak kurang mendapat sambutan.

Dalam keadaan perut kosong lebih 13 jam, sistem pencernaan berada dalam ‘mod rehat’, justeru pengambilan hidangan berminyak sebagai menu pertama ketika berbuka adalah tidak sihat.

Menurut beberapa kajian pemakanan, makanan bergoreng kaya lemak boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan obesiti jika diambil secara kerap lebih-lebih lagi ketika perut kosong. 

Keadaan ini berlaku kerana lemak tepu memerlukan masa lebih lama untuk dicerna, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penghadaman berfungsi semula selepas berpuasa.

Pengambilan hidangan bergoreng ketika berbuka boleh menyebabkan rasa mual, kembung dan sakit perut. 

Pilihan hidangan dari buah-buahan untuk pemula selera ketika berbuka puasa.

Ada individu turut mengalami pedih ulu hati atau ketidakhadaman selepas menikmati makanan bergoreng dalam kuantiti banyak ketika berbuka.

Pakar pemakanan menyarankan agar berbuka dimulakan dengan makanan ringan dan mudah hadam seperti kurma serta air kosong bagi mengembalikan tenaga secara perlahan. 

Selepas itu, diikuti dengan hidangan utama seimbang mengandungi karbohidrat kompleks, protein dan serat untuk memastikan tubuh mendapat nutrisi mencukupi.

Hidangan berasaskan sayur-sayuran membantu sistem pencernaan baik ketika berpuasa.

Bagi mengurangkan risiko penyakit, masyarakat digalakkan menggantikan juadah berminyak dengan pilihan lebih sihat seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, sup atau makanan dipanggang dan dikukus. 

Sumber protein seperti ayam tanpa kulit, ikan atau kekacang juga lebih baik berbanding makanan yang digoreng dalam minyak banyak.

Walaupun gorengan sukar dipisahkan daripada suasana Ramadan, pengambilannya perlu dikawal dan tidak berlebihan. 

Kesederhanaan adalah kunci agar ibadah puasa bukan sahaja memberi ganjaran pahala, malah turut membawa manfaat kesihatan jangka panjang.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Nutrisi

Ramai sangka batuk biasa tapi rupanya gejala tibi.... Ini 5 makanan perlu hindar elak lebih teruk

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Nutrisi

Puasa di udara lebih mencabar! Juruterbang kongsi tip sahur supaya kekal bertenaga

Terhangat