Baunya busuk dan rasanya pula pahit... Buah mengkudu banyak khasiat, boleh bantu elak obesiti
JIKA ke kawasan perkampungan, pokok mengkudu memang hidup subur di halaman rumah atau tepi jalan raya.
Tanda kehadiran pokok ini juga boleh dikesan jika terdapat bau busuk dan menyengat menusuk ke hidung terutamanya buah mengkudu sudah masak ranum.
Memang dari kejauahan sudah boleh terhidu baunya yang semerbak dan buahnya pula biasanya sebesar saiz mangga dan memiliki rasa sangat pahit.
Namun di sebalik beberapa kekurangannya, buah mengkudu cukup kaya dengan khasiat untuk kesihatan.
MENARIK DIBACA: Rasanya berlemak menggoda selera, ini resipi akok cara orang Kelantan
MENARIK DIBACA: Rajin-rajin makan bayam dan ubi keledek, mampu atasi masalah rambut gugur
Biasanya ramai menjadikan buah mengkudu sebagai jus bagi membantu menurunkan bacaan gula dalam darah bagi pesakit diabetes.
Malah ia dikatakan dapat membantu menstabilkan kadar kolesterol.
Sebenarnya terdapat pelbagai manfaat buah mengkudu untuk kesihatan yang mungkin ramai tidak tahu dan ini antaranya;

1. Menjaga kadar kolesterol dalam darah
Kajian menunjukkan bahawa ekstrak atau jus buah mengkudu dapat membantu mencegah pengumpulan kolesterol dalam saluran darah yang boleh menyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung.
Hasil daripada kandungan flavonoid dalam buah mengkudu mampu menghalang enzim yang menghasilkan lemak dan kolesterol dalam badan.

2. Mengurangkan sakit sendi
Buah mengkudu sudah lama digunakan secara tradisional bagi melegakan kesakitan dan keradangan dalam badan.
Ekstrak buah ini juga terbukti berkesan mengurangkan sakit dan bengkak pada sendi contohnya bagi pesakit arthritis.

3. Meningkatkan sistem imun badan
Salah satu manfaat penting buah mengkudu ialah menguatkan sistem imun badan.
Kandungan vitamin C dalam buah ini membantu meningkatkan fungsi pertahanan tubuh.
Dengan sistem imun yang lebih kuat, tubuh lebih mampu melawan bakteria dan virus seterusnya mengurangkan risiko mudah jatuh sakit.

4. Menurunkan kadar gula dalam darah
Buah mengkudu sesuai diamalkan untuk pesakit diabetes.
Kajian menunjukkan bahawa buah ini dapat menurunkan kadar gula dalam darah dan mengekalkannya pada tahap stabil.
Kandungan fenolik dalam buah tersebut dapat membantu meningkatkan metabolisme glukosa.

5. Menjaga berat badan ideal
Kajian mendapati bahawa buah mengkudu boleh membantu mengekalkan berat badan dan mencegah obesiti dipercayai melalui kemampuannya meningkatkan metabolisme badan.
Harus diingatkan pengambilan buah mengkudu sahaja tidak mencukupi. Amalan senaman secara rutin dan pemakanan sihat lebih berkesan untuk mengekalkan berat badan ideal.