Saffron rempah paling mahal di dunia, khasiatnya jadi buruan… Mampu atasi kemurungan
KEBIASAANNYA saffron digunakan sebagai perasa dan pewarna dalam masakan seperti nasi Arab dan nasi beriani.
Saffron atau juga dikenali dengan gelaran 'emas merah' merupakan sejenis rempah paling mahal di dunia yang mengeluarkan warna kuning keemasa diproses daripada bunga crocus sativus.
Saffron diangkat sebagai rempah paling mahal di dunia kerana kelebihan yang dimilikinya bukan sahaja dari segi penambah kesedapan dalam masakan tetapi juga mempunyai pelbagai khasiat.

Iran merupakan pengeluar terbesar saffron iaitu sebanyak 76 peratus, diikuti Sepanyol dan India.
Tidak hanya menambah warna dan kesedapan dalam masakan, saffron mempunyai pelbagai manfaat dan kelebihan termasuklah;

1. Melawan tekanan oksidatif dalam tubuh
Saffron kaya dengan crocin, iaitu bahan bersifat antioksidan yang membantu melawan tekanan oksidatif dalam tubuh manusia.
Tekanan oksidatif ini boleh menjadi punca terjadinya pelbagai jenis penyakit kronik.
Selain itu, crocin juga mempunyai kesan neuroprotektif yang boleh membantu melindungi otak daripada kerosakan.

2. Mengurangkan gejala kemurungan
Saffron mengandungi safranal iaitu agen memberi aroma khas pada saffron.
Aroma ini dilepaskan secara semula jadi semasa proses pengeringan benang saffron.
Manfaat safranal diketahui dapat mengurangkan gejala kemurungan dan mempengaruhi neurotransmiter dalam otak manusia.
Selain itu, safranal turut bersifat anti radang terhadap ciri-ciri keradangan.

3. Mengawal kadar degupan jantung
Saffron mengandungi potassium yang baik untuk mengawal kadar degupan jantung.
Bukan itu sahaja, saffron juga berupaya melindungi jantung dengan membantu menurunkan tekanan darah selain meningkatkan kolesterol baik (HDL).
Kandungan antioksidannya juga membantu melindungi sel jantung daripada kerosakan akibat radikal bebas dan dapat mengurangkan risiko penyempitan saluran darah.

4. Melancarkan pencernaan
Saffron juga dikatakan baik untuk sistem pencernaan kerana ia membantu merangsang penghadaman.
Pengambilan saffron juga dapat mengurangkan masalah kembung dan ketidakselesaan pada perut selain membantu melegakan masalah pedih ulu hati, sembelit dan mengurangkan asid dalam perut.

Kajian mendapati saffron sangat bagus untuk membantu menjaga kesihatan hati dengan kandungan antioksidannya seperti karotenoid.
Saffron juga membantu meningkatkan kadar oksigen reaktif untuk melindungi hati daripada keracunan.