Ramai takut nak cuba low carb diet, fahami 5 fakta mengenainya terlebih dahulu
DIET rendah karbohidrat atau low carb diet merupakan salah satu bentuk diet popular yang bertujuan menurunkan berat badan selain menjaga kadar gula dalam darah dan meningkatkan kesihatan.
Ia menekankan pengurangan pengambilan karbohidrat—terutama dari makanan olahan dan bergula serta meningkatkan protein dan lemak sihat.
Terdapat beberapa jenis diet rendah karbohidrat seperti keto yang memfokuskan kepada pengambilan makanan tinggi lemak dan protein.
Manakala diet atkins pula biasanya dimulakan dengan karbohidrat yang rendah lalu ditingkatkan pengambilannya secara berperingkat.
Diet ini lebih fleksibel berbanding keto dan sesuai untuk mereka yang baru ingin melakukan diet jangka panjang tanpa peraturan ketat.
Bagaimanapun masih ramai keliru atau tidak memahami cara diet ini berfungsi namun lima perkara ini boleh memberi pemahaman asas tentangnya.

1. Induksi ketosis dan pembakaran lemak
Apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan dengan ketara, tubuh akan memasuki keadaan yang dipanggil ketosis iaitu proses di mana lemak digunakan sebagai sumber tenaga utama.
MENARIK DIBACA: Dapur kaca nampak moden tapi datang dengan risiko... Ini panduan elak kejadian tak diingini
MENARIK DIBACA: Ibu bapa kena cakna, 5 makanan ini melemahkan memori anak-anak
Keadaan ini dapat mempercepatkan penurunan berat badan terutama pada fasa awal menjalani diet rendah karbohidrat.

2. Penurunan berat air dan mengurangkan selera makan
Karbohidrat menyebabkan tubuh menyimpan air. Oleh itu, pengurangan karbohidrat akan mengakibatkan kehilangan berat air dengan cepat.
Selain itu, diet rendah karbohidrat biasanya meningkatkan pengambilan protein dan lemak yang membantu meningkatkan rasa kenyang dan secara tidak langsung mengurangkan jumlah kalori yang dimakan.

3. Menstabilkan gula dalam darah dan mengurangkan rasa lapar
Mengelakkan karbohidrat ringkas seperti gula dan makanan proses dapat membantu menstabilkan paras gula dalam darah, mengurangkan lonjakan insulin dan mengawal rasa lapar yang berlebihan.
Ini dapat membantu mengawal jumlah kalori yang diambil dan menyokong usaha menurunkan berat badan.

4. Kesan jangka pendek dan jangka panjang
Beberapa kajian menunjukkan diet rendah karbohidrat boleh memberikan penurunan berat badan yang lebih ketara dalam jangka pendek berbanding diet rendah lemak.
Namun, perbezaan ini biasanya berkurangan dalam jangka masa panjang dan keberkesanan diet rendah karbohidrat untuk tempoh panjang masih menjadi perbincangan.

5. Risiko dan kesan sampingan
Pengurangan karbohidrat secara mendadak boleh menyebabkan kesan sampingan seperti keletihan, sakit kepala dan sembelit yang dikenali sebagai flu karbohidrat.
Selain itu, diet rendah karbohidrat yang tinggi lemak tepu boleh meningkatkan risiko penyakit jantung jika tidak dirancang dengan baik.