Kalau tengah diet elok makan jambu batu, siap boleh bantu cantikkan kulit
MULAKAN langkah ke arah gaya hidup sihat dengan memilih jambu batu sebagai buah pilihan anda.
Selain rasanya enak, jambu batu turut mengandungi khasiat luar biasa membantu mengekalkan berat badan ideal, meningkatkan penglihatan dan memperkuat sistem imun.
Ia menjadi pilihan kerana mempunyai kandungan vitamin, mineral dan serat tinggi, menjadikannya salah satu buah sangat bermanfaat untuk pelbagai aspek kesihatan.
Berikut adalah lima kebaikan utama jambu batu yang patut anda tahu.

1. Kurangkan berat badan
Rendah kalori dan kandungan karbohidrat, buah ini tidak mengandungi kolesterol mengganggu diet sihat anda.
MENARIK DIBACA: Memang sedap dibuat goreng sumbat sambal... Penghidap gout kena hati-hati, ikan cencaru boleh jadi ‘silent killer’
MENARIK DIBACA: Bukan setakat sedap buat colek, kena cuba kerabu buah limau gajah
Jambu batu juga diperkaya dengan mineral dan vitamin penting diperlukan tubuh serta serat membantu lebih lama.
Kandungan gula dalam jambu batu lebih rendah berbanding buah lain seperti epal, oren dan anggur.

2. Memperbaiki penglihatan
Vitamin A sangat penting untuk kesihatan mata dan penglihatan baik maka pengambilan buah ini membantu memperlahan pembentukan katarak dan mengurangkan risiko penglihatan kabur.
Bagi individu mengalami rabun malam atau sukar melihat dalam gelap, mengamalkan jambu batu kaya vitamin A membantu meningkatkan penglihatan.

3. Meningkatkan sistem imunisasi
Hanya dengan makan satu biji jambu batu bersaiz sederhana, anda sudah mendapat vitamin C dua kali ganda lebih banyak daripada keperluan harian badan.
Vitamin C bertindak sebagai antioksidan kuat meningkatkan daya tahan tubuh melawan jangkitan dan penyakit.

4. Kandungan kalium kawal tekanan darah
Jambu batu kaya dengan kalium dan vitamin A membantu mengurangkan kolesterol dalam darah dan menghalang darah menjadi pekat.
Kalium sangat penting untuk fungsi otot, termasuk otot jantung dan membantu menstabilkan tekanan darah.
Kandungan vitamin E, K dan B6 turut membantu dalam pembentukan darah dan menjaga kesihatan keseluruhan sistem peredaran darah.

5. Kulit sihat menawan
Kandungan vitamin C dan antioksidan dalam buah ini membantu memperbaiki tekstur kulit serta melambatkan proses penuaan.
Antioksidan melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas, menjadikan kulit lebih bersinar dan mengurangkan kedutan.
Selain dimakan, daun jambu batu juga boleh digunakan sebagai bahan semula jadi untuk merawat kulit bermasalah.