Dah berzaman 'lenjan' guna, periuk nenek tetap utuh! Rupanya sebab kod 18/10
PERASAN tak, ada periuk belanga di rumah ibu atau nenek masih kelihatan cantik dan tak berkarat walaupun sudah bertahun-tahun digunakan.
Seorang pengguna Threads, @makdakrizqy berkongsi tip yang diwarisi daripada orang lama iaitu meneliti nombor yang tertera pada bahagian bawah periuk sebelum membuat pembelian.
Menurutnya, nombor 18/10 pada periuk keluli tahan karat (stainless steel) merujuk kepada kandungan kromium dan nikel dalam peralatan tersebut.

“Mak aku pernah pesan. Nak cari periuk, cari yang belakangnya ada tulis 18/10 stainless steel. Tip ni mak aku dapat daripada arwah nenek.
“Kenapa 18/10? 18 peratus kromium dan 10 peratus nikel. Nikel tinggi buat stainless steel lebih tahan karat, tahan lama dan nampak lebih cantik,” katanya.
Menerusi hantaran itu, dia turut berkongsi video memaparkan periuk dengan label berkenaan.
Tambahnya, tip ini sangat berkesan memandangkan periuk belanga di rumah neneknya bertahan lama sehingga boleh diturunkan ke generasi seterusnya.
MENARIK DIBACA: Tip mudah cuci kerak nasi melekat di periuk, tak payah gigih sental
MENARIK DIBACA: Cara cuci kuali berkerak guna serbuk penaik dan air, pasti terkejut tengok hasilnya!
“Patutlah periuk kat rumah arwah nenek aku tahan tiga generasi. Tak berkarat walaupun dah guna puluhan tahun. Sekarang aku pula yang pakai untuk masak kat kampung,” katanya.
Sebagai info, kromium merupakan unsur yang membantu keluli tahan karat membentuk lapisan pelindung pada permukaannya bagi mengurangkan risiko karat dan hakisan.
Sementara itu, nikel membantu meningkatkan ketahanan terhadap hakisan serta mempengaruhi sifat dan struktur keluli tahan karat, sekali gus menjadikannya sesuai digunakan untuk menghasilkan peralatan memasak.
