Cara cuci kuali berkerak guna serbuk penaik dan air, pasti terkejut tengok hasilnya!
KESAN hitam, minyak yang melekat dan kerak pada kuali atau periuk bukan mudah untuk ditanggalkan, terutama jika sudah lama tak disental.
Justeru serbuk penaik sering menjadi antara bahan yang digunakan untuk membantu membersihkan peralatan dapur.
Ada sesetengah orang gemar mencampurkannya dengan sabun pencuci, cuka, perahan lemon atau garam sebelum mula menyental.
Bagaimanapun, untuk kotoran tertentu, serbuk penaik sebenarnya boleh digunakan bersama air sahaja.
Cara ini juga tidak memerlukan banyak bahan dan boleh dicuba untuk membantu melonggarkan kerak degil yang melekat pada permukaan kuali atau periuk.
Jom Kuali tunjukkan cara-cara yang dikongsikan oleh seorang wanita di Threads:

1. Tabur serbuk penaik dan air
Tabur serbuk penaik pada bahagian yang mempunyai kesan hitam, kerak atau kotoran degil.
Tak perlu terlalu tebal, cukup sekadar menutupi kawasan yang hendak dibersihkan.
Jangan letak terlalu banyak air kerana campuran yang terlalu cair akan mudah mengalir dan kurang melekat pada kawasan berkerak.
2. Biar seketika
Biarkan serbuk penaik tersebut selama kira-kira 15 hingga 30 minit sehingga berbuih.
Untuk kerak yang lebih tebal, boleh biarkan lebih lama supaya kotoran menjadi lembut.
MENARIK DIBACA: Bukan telur atau tahi! Ramai buang bahagian kuning ketam, rupanya boleh makan
MENARIK DIBACA: Keropok lekor 'homemade' guna lebihan nasi, lebih 'fresh' dari beli di kedai
3. Gosok guna span
Gunakan span pencuci untuk menggosok permukaan secara perlahan.
Kerak yang sudah lembut biasanya lebih senang ditanggalkan berbanding jika terus digosok ketika masih keras.
4. Bilas dan cuci seperti biasa
Apabila kotoran sudah tanggal, bilas kuali atau periuk dengan air bersih untuk membuang sisa serbuk penaik dan kotoran.
Kemudian, cuci seperti biasa menggunakan sabun pencuci pinggan sebelum dibilas sekali lagi sehingga bersih.
Jika masih terdapat kerak yang degil, ulangi langkah yang sama sekali lagi daripada terus menggunakan bahan atau alat yang terlalu kasar pada permukaan kuali.