Berpuluh kali cuba baru jadi! Wanita kongsi tip buat kulit risol sempurna, anti koyak
KULIT risol yang nipis, kenyal dan tidak mudah koyak ketika digulung sememangnya menjadi idaman ramai.
Bagaimanapun untuk mendapatkan tekstur kulit yang sempurna bukanlah semudah disangka.
Jika tersalah adunan atau teknik campuran, kulit risol akan mudah hancur dan terkoyak.
Menurut perkongsian wanita dikenali sebagai Chiiarraafs di Threads, dia sendiri mengambil masa yang lama dan melakukan berpuluh kali percubaan sebelum berjaya mendapatkan tekstur kulit risol yang diinginkan.
Lebih menarik, risol yang dibuat bukan sekadar untuk kegunaan sendiri sebaliknya turut dijual kepada reseller di puluhan kafe.
"Sebagai pemilik bisnes risol yang produk sudah dijual semula di puluhan kafe, saya melalui puluhan kali percubaan dan kesilapan sebelum berjaya mendapatkan tekstur kulit seperti ini.

"Teksturnya lentur, nipis dan saiznya juga sekata. Walaupun dah lama disalut dengan serbuk roti, kulitnya masih tidak mudah koyak," katanya.
Tidak mahu berterusan menyimpan resipi itu untuk dirinya sendiri sahaja, dia tampil berkongsi formula dan rahsia kesempurnaan kulit risol kepada warganet.
Menurutnya, resipi itu merupakan hasil percubaan sendiri dan bukannya diambil daripada mana-mana platform.
Resipi kulit risol:
- 350ml hingga 400ml air
- 2 biji telur
- 1½ sudu besar minyak masak
- 1½ sudu besar tepung ubi kayu
- 10 sudu besar tepung gandum
- Garam dan serbuk perasa mengikut cita rasa
MENARIK DIBACA: Gula dalam darah mungkin tinggi jika anda ada 6 masalah kulit ini
MENARIK DIBACA: Kulit buah naga rahsia cantikkan kulit muka, wanita kongsi petua 'aunty Cina'
Trik kulit tak mudah terkoyak
Menurutnya sukatan bahan yang tepat sahaja tidak mencukupi kerana cara menyediakan adunan juga memainkan peranan penting dalam mendapatkan kulit risol yang nipis dan tidak mudah koyak.
Paling penting, jangan terus masak adunan!
"Wajib dikacau rata sampai tak ada yang menggumpal. Boleh guna balloon whisk atau mixer," katanya.
Selepas adunan sebati, jangan terus masukkannya ke dalam kuali.
Sebaliknya, adunan perlu direhatkan selama kira-kira 20 hingga 30 minit.
Selepas tempoh tersebut, adunan perlu dikacau semula bagi memastikan tepung yang mendap di bahagian bawah kembali sebati.
Kuali panas, api tak terlalu besar
Untuk proses memasak pula, dia menasihatkan supaya menggunakan kuali yang sudah dipanaskan terlebih dahulu.
Api pula perlu berada pada tahap sederhana dan cenderung api kecil.
Kaedah tersebut penting bagi membantu mendapatkan helaian kulit yang nipis dan sekata tanpa menyebabkan bahagian tertentu cepat masak atau mudah koyak.