Nak masak nasi, perlu ke cuci beras banyak kali sampai air jernih? Ambil tahu fakta ini
MEMBASUH beras sebelum dimasak memang sudah menjadi rutin bagi kebanyakan individu.
Malah, ada yang sanggup membilas beras berkali-kali sehingga air basuhannya kelihatan betul-betul jernih.
Tapi persoalannya, perlu ke beras dibasuh sampai airnya jernih?
Jawapannya, tak semestinya!

Air yang kelihatan keruh ketika membasuh beras biasanya berpunca daripada kanji atau pati pada beras yang tertanggal apabila ia dibilas dengan air.
Jadi, air yang masih sedikit keruh selepas beberapa kali bilasan bukan bermaksud beras tersebut masih kotor.
Bagi sesetengah jenis beras, membasuhnya sehingga air benar-benar jernih boleh menyebabkan sebahagian kanji pada permukaan tertanggal.
Kalau sukakan nasi yang lebih berderai dan kurang melekit, beras boleh dibilas beberapa kali untuk mengurangkan lebihan kanji pada permukaan.
MENARIK DIBACA: Beras pulut tak perlu rendam, wanita ajar cara mudah masak guna 'rice cooker'
MENARIK DIBACA: Negara berbelanja besar import beras, individu dedah punca industri padi tempatan masih ketinggalan
Bagaimanapun, jika inginkan tekstur nasi lebih melekit, basuh secara berlebihan mungkin bukan cara yang ideal.
Berikut panduan mudah untuk basuh beras:
- Dua hingga tiga kali cucian sudah memadai. Jangan basuh beras berlebihan kerana warna air sedikit keruh adalah petunjuk masih ada nutrien seperti vitamin B dan mineral yang baik untuk kesihatan.
- Untuk beras perang atau beras organik, cukup 1 hingga 2 kali sahaja basuh. Lapisan dedak pada beras ini kaya dengan serat dan vitamin yang perlu dikekalkan.