7 tip, pantang larang masak sotong celup tepung! Salutan rangup, tak tertanggal
SOTONG goreng dengan tepung luarnya rangup dan tidak berminyak serta isi lembut memang menjadi kegemaran ramai.
Bagaimanapun, ramai juga merungut apabila sajian ini tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Masalah yang sering berlaku ialah salutan tepung tidak melekat dengan elok, mudah tertanggal serta sotong meletup ketika digoreng.
Menurut hantaran di laman Threads, ramai yang berkongsi beberapa tip yang dikatakan boleh membantu anda menghasilkan sotong goreng tepung yang rangup serta sempurna seperti di kedai.
Berikut disertakan cara-caranya:

1. Keringkan dulu
Sotong perlu betul-betul kering selepas dicuci, boleh lap menggunakan tisu dapur atau toskan lama supaya air berlebihan hilang.
Kelembapan boleh menyebabkan tepung tidak melekat dan minyak mudah meletup.

2. Gaul dengan garam
Ada juga yang menggunakan cara menggaul sotong dengan garam terlebih dahulu untuk mengeluarkan airnya.
Kemudian bilas atau toskan semula sehingga kering. Cara ini membantu sotong lebih melekat pada tepung.

3. Tepung ubi rahsia sotong tak basah
Sebelum disalut dengan tepung utama, taburkan sedikit tepung ubi kayu dan tepuk-tepuk sotong supaya baki air dan garam tertanggal.
Ini menjadikan permukaan sotong lebih kering dan sesuai untuk salutan tepung yang rangup.
MENARIK DIBACA: Mengejutkan, pendapat 'roti canai Melayu lagi sedap dari mamak' tiada bantahan! - "Tak nak fight, awak menang"
MENARIK DIBACA: Bibir budak lelaki terlebih mungil gara-gara main botol air, dipuji kekal tenang - "Dia nyot-nyot sampai tertidur"

4. Goncang dalam bekas
Cara mudah ialah memasukkan sotong ke dalam bekas atau plastik berisi tepung, kemudian goncang supaya semua sotong bersalut sekata tanpa perlu mencelup satu per satu.

5. Perap sekejap
Sesetengah orang suka memerap sotong yang telah digaul dengan telur dan tepung selama 20 hingga 30 minit supaya bahan lebih sebati dan salutan tidak mudah tanggal ketika menggoreng.

6. Minyak panas, api sederhana
Teknik asas ini penting untuk memastikan sotong tidak meletup.
Apabila minyak sudah cukup panas, masukkan sotong dan kecilkan sedikit api supaya masakan sekata.
Ini mengelakkan tepung hangus di luar tetapi dalam masih tidak masak atau minyak meletup.

7. Jangan kacau terlalu awal
Jangan terus kacau sotong selepas dimasukkan ke dalam minyak.
Beri masa untuk salutan tepung masak dahulu barulah dibalikkan supaya tidak tercabut.