Sambal pahit sebab hangit masih boleh diselamatkan guna petua-petua ini
SETIAP orang pasti pernah berdepan situasi tidak dijangka di dapur, termasuklah terleka seketika sehingga sajian yang dimasak hangit.
Seorang wanita di Facebook meminta bantuan orang ramai selepas sambalnya yang hangit masih terasa pahit walaupun sudah mencuba pelbagai cara untuk 'menyelamatkannya'.
Dalam perkongsiannya, wanita itu menjelaskan sambal yang dimasak hangit di bahagian bawah gara-gara dirinya terleka.

"Boleh bagi tip tak macam mana nak hilangkan rasa pahit dekat sambal? Saya terleka tadi, hangit kat bawah.
"Saya dah tukar kuali lain, dah 'blend' dan tambah bawang.
"Saya tambah juga cili kering yang dah 'blend'. Tapi rasa pahit masih ada. Kalau ada tip lain, tolong kongsi. Kot-kot masih boleh diselamatkan," tulisnya.
MENARIK DIBACA: Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
MENARIK DIBACA: Rahsia orang dulu masak sedap lain macam! Kena sabar, guna petua pecah minyak 3–4 kali
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang tidak lokek berkongsi pengalaman serta petua masing-masing bagi mengurangkan rasa pahit pada sambal.
Antara cadangan yang paling banyak mendapat perhatian ialah penggunaan gula nisan yang dikatakan mampu membantu mengimbangi rasa pahit.
"Gula nisan itu jalan penyelesaiannya," komen seorang pengguna.
Selain itu, ada juga yang mencadangkan supaya dia menambah daun pandan dan serai ke dalam sambal kerana aroma kedua-dua bahan tersebut dipercayai dapat membantu mengurangkan rasa hangit serta memberikan haruman yang lebih menyelerakan.

"Cuba letak daun pandan sama serai lebih sikit dalam sambal," ujar seorang lagi netizen.
Seorang lagi pengguna pula berkongsi petua tradisional dengan mencadangkan penggunaan daun pisang atau hampas kelapa parut bagi menyerap rasa pahit sambal.
"Letakkan dalam sambal atau kalau ada hampas kelapa parut, buat macam sup bunjut bersaiz besar untuk serap pahit sambal," kongsinya.
Dalam masa sama, terdapat juga pengguna yang berpendapat jika rasa pahit masih terlalu kuat selepas pelbagai usaha dilakukan, kemungkinan besar sambal tersebut sudah menyerap rasa hangit dan sukar untuk dipulihkan sepenuhnya.