Nasi lemak Malaysia 'mendunia'! Restoran di Portugal jadi perhatian, siap letak belacan
PENGHIJRAHAN rakyat Malaysia ke luar negara sambil membawa bersama warisan kulinari tempatan menerusi perniagaan makanan memainkan peranan besar dalam memperkenalkan keunikan masakan negara kepada dunia.
Sebagai contoh nasi lemak yang semakin mendapat tempat di luar negara kerana keaslian rasanya hingga dilabelkan sebagai sajian ikonik melambangkan identiti kulinari negara.
Perkongsian seorang wanita dikenali sebagai Nor Zuraida di media sosial mencuri perhatian apabila memaparkan seorang individu dipercayai cef di sebuah restoran di Portugal sedang menyediakan hidangan nasi lemak dengan penuh teliti.
Menerusi video berkenaan, lelaki itu dilihat memperkenalkan nasi lemak yang dihidangkan di restoran dikenali sebagai Marimakan Porto sambil menunjukkan proses penyediaan dan cara hidangan tersebut dipersembahkan kepada pelanggan.

Nor Zuraida turut meluahkan rasa bangga melihat nasi lemak dan masakan Malaysia terus mendapat pengiktirafan di luar negara.
"Mendunia la nasi lemak dan masakan kita (Malaysia)," tulisnya di Threads.
MENARIK DIBACA: [V] Mi goreng sotong Ayishaah Corner air tangan asli ‘Pulau Mutiara’, kalau pekena memang berpeluh!
MENARIK DIBACA: Sakit tak baik-baik, doktor kongsi kebaikan kunyah bunga cengkih legakan batuk
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang kagum melihat usaha restoran berkenaan mengekalkan keaslian rasa, terutama apabila sambal nasi lemak disediakan menggunakan belacan, selain hidangan dipersembahkan dengan kemas dan menarik.
"Wei nasi lemak brader ni sambal dia letak belacan.
"Dia letak belacan, mantap betul.
"Dia siap buat plating.

"Boss Jerman saya pun datang Malaysia mesti cari nasi lemak," komen netizen.
Terletak di Rua do Almada, Porto, Portugal, Marimakan Porto berada berhampiran Stesen Trindade di pusat bandar dan dipercayai diasaskan oleh dua beradik berasal dari Ipoh, Perak.
Restoran itu terkenal dengan sajian autentik Malaysia seperti nasi lemak, mi goreng, rendang daging, kari ayam, ikan bakar serta kari asam yang menjadi pilihan pelanggan tempatan dan pelancong.
Kehadiran restoran seperti Marimakan Porto membuktikan masakan Malaysia mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia.
Bukan sahaja memperkenalkan rasa asli kepada masyarakat luar, malah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila hidangan seperti nasi lemak terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.