Netizen kenang makanan waktu susah, paling sedih cuci ayam sisa tetamu rumah kenduri
MENGENANG kembali zaman sewaktu kecil, pasti ada dalam kalangan kita yang pernah melalui fasa hidup serba kekurangan.
Bagi sesetengah orang, nasi dengan lauk ala kadar, sayur dipetik sendiri atau makanan lebihan yang diolah mungkin sudah cukup bermakna.
Satu perkongsian di Threads oleh seorang wanita dikenali sebagai kakak_munge mengundang sebak warganet apabila dia menceritakan kisah keluarganya menikmati hidangan sederhana ketika berdepan kesukaran hidup suatu ketika dulu.
"Saya mula dulu. Hujung tahun musim tengkujuh tak ada duit sebab nak menoreh getah hujan. Mak petik jambu air jadikan lauk. Setiap hari lauk yang sama tanpa kenal erti jemu dan bila dah berumur ini tetap jadi makanan kegemaran kami adik-beradik," tulisnya.
Siapa sangka, ruangan komen kemudian dipenuhi kisah-kisah individu lain yang berkongsi pengalaman membesar dalam serba kekurangan sekali gus mengundang sebak.
"Mak aku cuci pinggan kat kenduri dan ambil semua sisa ayam tetamu yang tak habis makan. Mak aku cakap dengan tuan rumah buat untuk kucing tapi bila balik rumah mak ayah aku cuci bersih-bersih dan masak semula. Masa tu kami adik-beradik punya seronok dapat juga merasa makan ayam. Al-fatihah untuk arwah abah dan mak.

"Mak abah pernah pergi pasar malam masa orang dah tutup jam 10 malam ke atas. Jumpa timun satu beg orang buang, balik tu mak buat sup timun dengan ikan bilis sedap. Masa mak belum gaji selalu masak nasi goreng telur satu kuali penuh sedap.
MENARIK DIBACA: Resipi mudah, bila buat tak jadi! Rupanya ada teknik masak sagu gula Melaka elok kejadian
MENARIK DIBACA: Ini tip, bahan rahsia masak kuetiau goreng padu macam makan di kedai
"Aku tak tahu kenapa dulu aku susah padahal bapa aku polis tapi dia saja yang kerja tanggung kami lima beradik. Pernah satu masa tu beras pun tak ada apatah lagi lauk, yang ada gula melaka wallahi tak tipu. Mama bagi kami gula melaka tu sorang sikit untuk alas perut, sedih," antara luahan warganet.
Tanpa disangka, sayur kangkung juga menjadi makanan yang tidak asing dalam kehidupan mereka.

"Saya lima beradik, bapa seorang je kerja buruh di lombong Mines. Di tepi rumah ada paya dan kangkung, setiap hari makan sayur kangkung. Sampai ke tua ni dah tak lalu tengok kangkung," kongsi salah seorang netizen.
Ada juga yang berkongsi bahawa hasil tanaman sendiri menjadi penyelamat ketika tiada wang untuk membeli lauk.
"Kalau sampai musim-musim tak ada duit beli lauk. Bapa tumbang satu pokok sawit, jadi kami boleh makan umbut sawit tu sampai dua atau tiga minggu. Tak jemu sebab sedap, baru-baru ni saya balik kampung, abang ipar tumbang satu pokok sawit jadi lauk," komen warganet.
Selain itu, lebihan makanan yang biasanya dibuang juga pernah menjadi hidangan.
"Lebihan kulit buah tembikai yang bahagian putih tu buang kulit luar lepas tu hiris kecil. Masak tumis macam timun, sedap. Mak pernah buat dulu sebab sayang nak buang lebihan tembikai tu," kata seorang netizen lagi.