Kilang proses pulut kuning popular didakwa kotor - "Tikus berak kencing atas plastik"
ASPEK kebersihan dalam pengeluaran serta pengedaran makanan bukan sekadar keperluan, malah menjadi tanggungjawab utama setiap pemain industri tanpa mengira skala perniagaan.
Sama ada gerai kecil mahupun kilang besar, kebersihan dan keselamatan makanan amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap pengguna.
Seorang pengguna Threads mencuri perhatian ramai apabila mendakwa operasi perniagaan pulut kuning milik seorang usahawan terkenal tidak mematuhi standard kebersihan.
Menurut individu tersebut, maklumat itu diperoleh daripada pengalaman kenalannya yang mendakwa pernah bekerja di sebuah kilang makanan milik usahawan yang juga berstatus selebriti itu.

Dakwanya, keadaan kilang berkenaan terlalu kotor selain dicemari dengan kehadiran haiwan perosak.
"Kawan saya dulu kerja sana, dia cerita produk situ memang tak dijaga kebersihan dan banyak tikus dalam sekitar kompaun kilang.
"Tikus siap makan dan berak kencing atas plastik retort pulut tu ye. Ni gambar bukti," dakwanya dalam satu hantaran.
Bersama kapsyen itu, pengguna berkenaan turut memuat naik beberapa keping gambar yang dipercayai produk makanan serta persekitaran kilang terbabit.
MENARIK DIBACA: Beli nasi lemak, dapat ayam sambal berulat - "Tak beritahu pun ada tambahan protein"
MENARIK DIBACA: Beli nasi kukus, terbantut selera nampak 3 ulat 'jalan-jalan' dalam plastik lauk
Tambahnya lagi, kenalannya itu terpaksa berhenti kerja kerana tidak sanggup berdepan dengan situasi tersebut selain mendakwa berlaku isu dalaman lain dalam syarikat berkenaan.
“Member saya ni pun dah berhenti kerja atas faktor-faktor penyalahgunaan dana oleh owner syarikat sendiri dan dia tak nak terlibat.
“Jadi saya nak cakap kat sini, apa yang korang nampak dalam media sosial, janganlah percaya 100 peratus,” katanya.
Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak usahawan berkenaan mengenai tuduhan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dengan pendedahan tersebut.
Tidak kurang juga yang tampil mempertahankan usahawan berkenaan dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan dibuat dengan niat untuk menjatuhkan nama baiknya.
"Dulu-dulu time awal-awal dia buat kat rumah tu sedap. Bila start dia masuk mass production aku beli keras sangat pulut dia.
"Memang niat cari followers dengan jatuhkan bisnes orang ke? Allahuakbar. Lebih baik awak cari bukti yang lebih kuat dan ada nama dia kat 'packaging' tu," antara komen netizen.