Sirap buatan Malaysia tembus pasaran AS, produk digunakan di lebih 2,000 kafe, premis F&B
JENAMA Bariistar mencatat satu pencapaian bermakna apabila berjaya meluaskan capaian produknya menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Callabio Manufacturing Sdn Bhd, Shahir Suhaimi berkata kejayaan ini adalah hasil perjalanan pembangunan (R&D) jenama yang telah melalui beberapa fasa penting.
Jelasnya, sejak diusahakan pada 2021, Bariistar dibangunkan untuk menjadi lebih daripada sirap minuman, sebaliknya sebagai rangkaian produk premium bagi kegunaan industri F&B serta pasaran eksport.

"Eksport ke Amerika Syarikat ini bukan sekadar penghantaran produk, tetapi satu langkah penting dalam membawa jenama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.
Bagi merakam momen bersejarah ini, majlis flag-off penghantaran kontena produk Bariistar ke AS diadakan di MARA Halal Industrial Park, Batu Caves pada Sabtu lalu.
MENARIK DIBACA: Yeo’s rai momen magis bersama Ammar Ahyan, Emma Sofea sempena Hari Teh Sedunia
MENARIK DIBACA: Lebih satu dekad operasi, The Baker’s Son akhirnya terima sijil halal Jakim
Tambahnya, penghantaran produk itu merupakan permulaan kepada pembangunan pasaran Bariistar yang lebih besar di AS serta pasaran antarabangsa lain.
"Bagi kami, ini bukan sekadar sebuah kontena. Ia membawa bersama usaha bertahun-tahun, percubaan, cabaran dan keyakinan bahawa jenama Malaysia juga mampu berdiri di pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Penghantaran pertama ini melibatkan sebanyak 16,800 botol sirap dalam pelbagai perisa dengan nilai RM840,000.

Produk akan dihantar kepada M&C Barista Supply Company, yang telah dilantik sebagai pengedar eksklusif Bariistar bagi pasaran AS.
Bariistar menyasarkan untuk menembusi antara 2,000 hingga 5,000 premis kafe, restoran dan perniagaan F&B di AS, khususnya kota metropolitan seperti Detroit, New York City, Chicago, Phoenix, San Francisco Bay Area, Philadelphia, Dallas dan Seattle.
Callabio Manufacturing turut menyasarkan jualan antara 30,000 hingga 50,000 botol sebulan dengan sasaran jualan sebanyak RM8 juta bagi tahun 2026.