Mesin pintar 'Bread for All' beri roti segar percuma 24 jam kepada individu memerlukan
MENETAP di sebuah bandar maju, tidak ada seorang pun individu akan dibiarkan kelaparan oleh pemerintah dengan sekurang-kurangnya diberi bantuan roti secara percuma.
Itulah konsep Bread for All (Roti untuk Semua), satu inisiatif kebajikan yang diperkenalkan di Dubai bagi memastikan tiada sesiapa yang tinggal di bandar itu terpaksa menahan lapar.
Program yang dilancarkan secara rasmi pada pertengahan 2026 itu merupakan cetusan idea Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, yang berpegang kepada prinsip bahawa tiada individu di negara itu sepatutnya tidur dalam kelaparan.

Memetik laporan Dubai Scoops, mesin layan diri Bread for All menggunakan teknologi pintar yang mampu menyediakan dan membakar roti segar secara automatik sebaik sahaja pengguna membuat permintaan.
Prosesnya cukup mudah. Individu yang memerlukan hanya perlu menekan butang 'order' pada skrin mesin.
Dalam beberapa minit, mesin akan menyediakan roti sebelum mengeluarkannya panas-panas kepada pengguna tanpa sebarang bayaran.
Mesin ini beroperasi sepanjang masa, 24 jam sehari, sekali gus memastikan bantuan makanan sentiasa tersedia tanpa mengira waktu.
MENARIK DIBACA: Tekstur kenyal, aroma harum... Snek Korea kek beras tteok mentega kini jadi kegilaan
MENARIK DIBACA: Kek tapak kuda red velvet menggoda selera, resipi Kak Sue buat ramai terliur
Antara keunikan Bread for All ialah konsepnya yang berasaskan kepercayaan dan maruah manusia.
Tiada proses pendaftaran, tiada dokumen diperlukan dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Sesiapa sahaja yang benar-benar memerlukan boleh mendapatkan roti secara terus daripada mesin tersebut.

Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses bantuan makanan, malah mengelakkan penerima daripada berasa malu atau terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bantuan.
Selain mengagihkan roti secara percuma, mesin Bread for All turut berfungsi sebagai platform untuk orang ramai menyumbang kepada program tersebut.
Individu yang ingin membantu boleh membuat sumbangan kewangan secara terus melalui mesin atau saluran rasmi yang disediakan.
Dana yang dikumpulkan digunakan bagi menampung kos penyediaan roti serta memperluaskan program ke lebih banyak lokasi di Dubai.

Program Bread for All dilaksanakan hasil kerjasama antara Mohammed Bin Rashid Al Maktoum Global Initiatives dan Mohammed bin Rashid Global Centre for Endowment Consultancy.
Ketika ini, beberapa mesin telah ditempatkan di lokasi strategik sekitar Dubai bagi memudahkan akses kepada golongan pekerja, keluarga berpendapatan rendah serta individu yang memerlukan bantuan makanan.
Bread for All bukan sekadar sebuah mesin yang mengeluarkan roti, tetapi simbol keprihatinan sebuah negara dalam memastikan setiap insan mempunyai akses kepada makanan asas tanpa mengira latar belakang atau keadaan ekonomi.