'Wajib' cuba kopi pagi versi Erling Haaland - "Superfood saya jika dibuat cara betul"
SECAWAN kopi menjadi minuman wajib bagi kebanyakan individu di seluruh dunia.
Kopi sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian manusia untuk menyegarkan badan, meningkatkan fokus dan menghilangkan rasa mengantuk terutama sebelum memulakan aktiviti.
Bagaimanapun, pengambilan kopi yang mengandungi kafein perlu dikawal lebih-lebih lagi dalam kalangan atlet profesional.
Pengambilan kafein secara berlebihan boleh memberi kesan kepada tubuh, menyebabkan ahli sukan perlu mengambil kira jumlah dan masa pengambilannya.
Berbeza dengan kebanyakan pencinta kopi yang menikmati minuman seperti flat white atau latte, bintang Manchester City, Erling Haaland mempunyai cara tersendiri menikmati kopi sebagai sebahagian daripada rutin paginya.
Penyerang sensasi Norway itu dilaporkan menggemari kopi dicampur dengan sirap maple iaitu satu gabungan yang mungkin kedengaran luar biasa bagi sesetengah peminat kopi.
Menurut laporan media antarabangsa, Haaland percaya campuran tersebut membantu memberikan sumber tenaga yang lebih sesuai untuk memulakan harinya sebagai seorang atlet.
Minuman custom yang dihasilkan oleh Haaland itu bukan sekadar bertujuan menghilangkan rasa mengantuk.

Dia percaya pemilihan bahan yang betul memainkan peranan penting dalam memastikan tubuhnya berada dalam keadaan terbaik sebelum menjalani latihan atau menghadapi perlawanan.
Dalam satu video yang tular, Haaland menjelaskan bahawa minuman kopi tersebut adalah antara 'superfood' untuk dirinya jika disediakan dengan cara yang betul.
"Minum kopi ini adalah 'superfood' saya jika dibuat dengan cara yang betul. Ia bergantung kepada kualiti minuman yang anda ambil," katanya.
Menurut Haaland, cara penyediaan juga penting kerana campuran kopi bersama susu dan sirap maple dipercayai membantu melindungi kafein.
"Ini cara saya membuat kopi, campurkan kopi dengan susu dan sirap maple untuk melindungi kafein dengan lemak dan gula," katanya.
Walaupun rutin pemakanan Haaland sering menjadi perhatian kerana disiplin tinggi yang diamalkannya sebagai pemain profesional, minuman kopi versinya turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
MENARIK DIBACA: Pajeri rambutan bukan menu pelik, ramai dah makan sejak kecil... Boleh juga masak kari
MENARIK DIBACA: Kedai nasi kandar didakwa guna taktik 'putar belit' untuk pelanggan bayar guna kod QR
"Kopi kaedah pour over adalah cara terbaik untuk membancuh kopi. Gunakan biji kopi single origin dan kisar hanya sebelum membuatnya. Jika bungkusan kopi hanya mempunyai label 'baik digunakan sebelum' itu tidak bagus. Sepatutnya ia menunjukkan tarikh panggang kopi.
"Memang luar biasa mesin kopi yang dia gunakan.
"Kalau kerjaya bola sepak tak menjadi, awak boleh jadi barista. Bagus!
"Ada sesiapa ada resipi penuh? Dia banyak skip langkah.
"Apa maksudnya dengan 'melindungi' kafein'?" antara komen netizen.