Pengkritik makanan kongsi 6 ciri restoran dianggap 'red flag', tak minat nak masuk
SISTEM pengurusan restoran terancang, operasi dapur lancar; kebersihan dan konsistensi rasa serta pengalaman pelanggan secara menyeluruh memainkan peranan penting dalam membentuk reputasi sesebuah premis.
Perkara itu dikongsi pengkritik makanan terkenal Britain, Grace Dent, menerusi satu hantaran di Instagram mengenai beberapa jenis restoran yang tidak menjadi pilihannya.
Wanita berusia 52 tahun itu yang pernah menjadi juri program MasterChef UK mendedahkan, dirinya tidak berminat mengunjungi restoran berubah menjadi kelab malam selepas jam 10 malam.
"Perubahan suasana daripada tempat makan kepada lokasi hiburan malam bukan pengalaman dicari ketika menikmati hidangan.

"Saya juga mengelak kafe terlalu bergaya dan menjadi tumpuan ramai pada awal pagi, khususnya sekitar jam 8 pagi," kongsinya.
Pengkritik makanan itu juga berpendapat sesetengah kafe moden yang dimiliki individu tinggal jauh dari lokasi perniagaan boleh menyebabkan masalah operasi seperti pengurusan stok kurang teratur atau peralatan tidak diselenggara dengan baik.
Malah, wanita itu turut berkongsi kebimbangan terhadap keadaan stok makanan di sesetengah premis kurang diberi perhatian sehingga menjejaskan kebersihan.
MENARIK DIBACA: Kedua-duanya berasal dari akar tumbuhan, ada banyak beza antara sarsi dan rut bir
MENARIK DIBACA: Pelanggan disaran elak beli minuman guna ais hancur, demonstrasi buktikan kebenaran
Perkara keempat tidak disenanginya adalah restoran menawarkan terlalu banyak hidangan atau menu untuk dipilih pelanggan.
Bagi Dent, pengalaman mencuba menu istimewa sepatutnya menyeronokkan dan bukan mengambil masa terlalu lama.
“Secara teknikal, apa sahaja lebih daripada 11 hidangan 'tasting menu' adalah satu bentuk 'penculikan',” katanya secara berseloroh.
Selain itu, Dent turut mengkritik restoran baharu yang menawarkan hidangan mahal tetapi kurang dikenali dengan promosi sangat terhad di internet.
Konsep itu dilabelkan sebagai mencurigakan kerana pelanggan mungkin sukar mendapatkan gambaran sebenar mengenai operasi restoran tersebut.

Satu lagi ciri restoran dielakkan Dent adalah tempat makan terlalu menonjolkan konsep atau trend tertentu sehingga mengabaikan pengalaman sebenar pelanggan.
Menurutnya, selepas bertahun-tahun berada dalam dunia makanan, dia sudah melihat pelbagai jenis pendekatan restoran dan memahami cabaran sebenar dalam industri tersebut.
Perkongsian Dent itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing ketika mengunjungi restoran.
Ada yang mengadu mengenai restoran yang menggunakan bahan tambahan berlebihan, manakala ada juga yang kurang berpuas hati dengan hidangan moden yang terlalu mengejar gaya berbanding rasa.