Kafe Jepun jual latte pada suhu paling ekstrem di dunia, kena habiskan dalam masa 40 saat sebelum beku
BILA sebut tentang kopi, ramai akan membayangkan minuman panas yang dinikmati pada waktu pagi atau latte ais yang menyegarkan tekak ketika cuaca panas.
Biasanya kopi dikaitkan dengan aroma harum, rasa menenangkan dan menjadi pilihan ramai sebelum memulakan hari.
Tapi pernah tak terfikir bahawa dunia kopi ini terlalu luas untuk diteroka, sampai ada yang mencipta pengalaman minum lain dari yang lain?
Di Jepun, sebuah kafe di Yokohama kini mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial kerana menawarkan kopi ais pada suhu luar biasa sehingga -85°C.
Kafe ini menghidangkan kopi pada suhu ekstrem yang dikatakan antara paling sejuk di dunia.
Menurut perkongsian yang tular, sebaik sahaja kopi dituangkan ke dalam cawan yang telah disejukkan, bahagian dinding luarnya akan serta-merta diselaputi lapisan fros putih yang tebal menjadikannya kelihatan seperti objek yang telah beku sepenuhnya.

Menariknya, walaupun berada pada suhu yang sangat rendah, cawan tersebut masih boleh dipegang.
Lebih unik, susu di bahagian bawah minuman itu turut mengalami pembekuan separa, menghasilkan tekstur seperti ais kisar yang bercampur dengan krim lembut sekali gus mencipta pengalaman rasa yang berbeza daripada kopi biasa.
Apa yang menjadikan minuman ini lebih istimewa ialah pelanggan disarankan untuk menghabiskannya dalam tempoh hanya 40 saat bagi mengelakkan perubahan rasa dan tekstur yang berlaku dengan cepat.
Perubahan suhu yang ekstrem ini menyebabkan kopi tersebut berubah daripada cecair kepada campuran separa beku dalam masa singkat menjadikan pengalaman meminumnya sesuatu yang benar-benar unik dan sukar didapati di tempat lain.
MENARIK DIBACA: Perut kembung, muka sembap petanda gemuk air... Cuba 2 herba ini, badan terus rasa ringan
MENARIK DIBACA: Wanita 30-an risau wajah mula nampak tua, 'berdesup' netizen kongsi tip pemakanan elak kulit berkedut
Selain latte ais ekstrem ini, kafe berkenaan turut menawarkan kopi luwak iaitu salah satu kopi paling mahal dan 'rare' di dunia.
Gabungan kopi premium bersama konsep penyajian bersuhu ekstrem ini menjadikan kafe di Yokohama semakin popular dalam kalangan pelancong dan pencipta kandungan (content creator).
Rata-rata netizen yang melihat perkongsian mengenai minuman ini menyifatkannya sebagai unik dan luar biasa terutama dengan lapisan fros tebal yang terbentuk sebaik sahaja kopi dihidangkan.
Tidak hairanlah kafe ini kini dianggap sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman kopi yang benar-benar berbeza ketika melancong ke Jepun.