KUALI | Trending

Demi ulat dibela, wanita seru orang ramai sumbang sisa makanan sebanyak mungkin

Lead Image

MUSIM perayaan memang meriah dengan jemputan rumah terbuka, namun di sebalik hidangan enak dan meja penuh juadah, banyak juga berlakunya pembaziran makanan. 

Bagaimanapun tak ramai tahu sisa atau lebihan makanan boleh dimanfaatkan menjadi sesuatu lebih bernilai malah memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar.

Pengasas Cemerlang Tani Enterprise, Liyana Izan membuka mata masyarakat mengenai kaedah mengurus sisa makanan melalui projek kompos berasaskan 'Black Soldier Fly Larvae' (BSF) atau ulat BSF.

Menurut Liyana, sisa makanan dari penganjuran rumah terbuka, kenduri atau dari kedai makan boleh dihantar ke pusat kompos BSF untuk diproses.

Ulat BSF dibela dalam ruangan dipanggal kolam.

"Sisa makanan terdiri daripada makanan tamat tempoh, roti dan lebihan juadah boleh dihantar untuk dijadikan makanan ulat BSF. 

"Cuma kalau boleh elak makanan berkuah kerana ia perlu ditapis terlebih dahulu supaya tak menitis sepanjang perjalanan," jelasnya.

Kongsinya, sebelum ini kebanyakan sisa ladang atau makanan rosak dilupuskan dengan cara ditanam tetapi kini sisa itu diberikan kepada ulat BSF untuk diproses secara semula jadi.

Lebih menarik, ulat yang terhasil itu digunakan sebagai makanan ternakan seperti ayam, ikan dan burung manakala najis ulat pula dijadikan baja organik berkualiti tinggi.

MENARIK DIBACA: Mahu kuetiau ladna rasa manis beraroma? Rahsianya tambah buah laici dalam kuah

MENARIK DIBACA: Aizat Saha makan banyak, tak kira musim raya atau tidak... Stres berat badan susah naik

"Permintaan ulat ini sangat tinggi. Ada pelanggan membeli ulat muda (kecil) untuk diberikan kepada ikan dibela, ada juga meminta saiz besar diberikan pada haiwan ternakan seperti ayam. 

"Jika dikendalikan dengan sistematik, ulat BSF boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan kerana mempunyai permintaan tersendiri.

"Kalau suatu hari nanti bekalan baja dari luar terputus, kita sudah ada alternatif sendiri melalui penternakan ulat ini," katanya.

Menurut Liyana, idea ini dimulakan secara kecil-kecilan daripada minat berkebun dan menternak ayam untuk kegunaan sendiri sekitar 2019. 

Sebenarnya seronok 'bermain' dengan ulat. Banyak pengalaman baharu dapat dipelajari sepanjang saya terbabit dalam dunia kelastarian 

Pada ketika itu, dia mencari alternatif makanan ternakan lebih organik tanpa perlu bergantung kepada dedak komersial.

"Bila ada ulat, ia bukan saja boleh jadi makanan ayam, tapi hasilkan baja dari tahinya," kongsinya yang mula mengusahakan ulat BSF secara komersial sejak 2023.

Pada peringkat awal, dia menggunakan sistem terbuka menyebabkan lalat liar bertelur dan menghasilkan ulat bersaiz tidak konsisten. 

Kini, proses itu ditambah baik dengan pengurusan lebih sistematik bagi memastikan kualiti dan saiz ulat seragam terutama jika mahu dikomersialkan.

"Sebenarnya seronok 'bermain' dengan ulat. Banyak pengalaman baharu dapat dipelajari sepanjang saya terbabit dalam dunia kelestarian. 

"Ulat BSF tak ada gigi dan hanya makan sisa makanan lembut, jadi sisa dihantar perlu dihancurkan terlebih dahulu menggunakan mesin khas memudahkan proses penguraian," kongsinya lagi.

Biarpun sering dianggap kotor, ulat BSF sebenarnya mengandungi elemen antimikrob (AMP) menjadikannya tahan terhadap bakteria daripada makanan basi sekali gus selamat digunakan sebagai sumber protein untuk haiwan.

Projek bioremediasi ini adalah kerjasama antara Cemerlang Tani dan Majlis Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar di mana tong khas disediakan untuk pengasingan sisa makanan di premis terlibat.

Setakat ini, kira-kira 10 premis termasuk kedai makan, hospital, universiti serta pengusaha minuman seperti air soya terlibat dalam inisiatif ini dengan membekalkan sisa makanan diasingkan.

Ulat kecil ini menjadi baja organik berkualiti tinggi.

"Kutipan sisa makanan diuruskan oleh pihak kami bersama majlis, jadi pengusaha hanya perlu asingkan sahaja. Ia memudahkan semua pihak. 

"Pun begitu, jumlah ini masih rendah untuk membudayakan amalan mengasingkan sisa makanan kerana ia belum dimasukkan dalam segmen kitar semula," jelasnya. 

Katanya, setiap lebihan makanan sebenarnya masih mempunyai nilai cuma terpulang sama ada mahu membuangnya atau mengubahnya menjadi sesuatu bermanfaat.

Walaupun fasiliti tersedia, Liyana mengakui cabaran terbesar adalah mendapatkan komitmen berterusan daripada premis serta kekangan lokasi untuk memperluaskan projek ke kawasan lain seperti Johor Bahru.

Kini, operasi di Seri Iskandar mampu memproses sehingga satu tan sisa makanan seminggu, namun kapasiti itu bergantung kepada bekalan sisa yang konsisten.

Liyana kini berpangkalan di Johor turut berulang-alik ke Perak beberapa kali seminggu bagi memantau projek itu selain aktif berkongsi ilmu melalui kelas fizikal dan dalam talian.

Sisa makanan dihantar ke tapak pemprosesan.

Wanita itu turut menyediakan kit permulaan telur ulat kepada komuniti mahu cuba berjinak-jinak membela ulat itu.

"Sejak diperkenalkan, lebih 500 individu mencuba penternakan ulat BSF, namun cabaran utama adalah mendapatkan sumber makanan mencukupi untuk memastikan kelangsungan ternakan," katanya lagi.

Dalam masa sama, Liyana turut turun padang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan kelestarian alam dengan menggunakan sisa kantin sebagai bahan pembelajaran.

"Ini bukan sekadar bisnes, tapi lebih kepada usaha memberi manfaat kepada masyarakat. Walaupun keuntungan tak besar, kami ada kemahiran untuk dikongsi," katanya yag turut menyalurkan kira-kira 10 peratus keuntungan kepada komuniti.

Tambahnya lagi, pengurusan sisa makanan sepatutnya bermula dari rumah dengan pengasingan awal, namun kesedaran itu masih rendah dan belum menjadi sebahagian daripada budaya kitar semula di negara ini.

Sisa makanan diasingkan bagi sebelum dikisar menggunakan mesin khusus.

"Kalau bukan kita yang mula, siapa lagi. Bila mula, nanti akan jumpa komuniti sama minat," ujarnya.

Justeru, dia berharap lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif itu termasuk komuniti setempat, pengusaha makanan dan pihak berkuasa tempatan.

Malah, bagi individu tidak mempunyai akses ke pusat kompos, kaedah penternakan ulat BSF juga boleh dilakukan sendiri di rumah secara kecil-kecilan tanpa menghasilkan bau mengganggu jika diurus dengan betul.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Jemput 1,000 tetamu, cuma 400 hadir! Penganjur majlis raya minta vendor cendol 'refund' untuk 600 pax

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Gelabah dulu, periksa info kemudian! Wanita hampir buang stok biskut sah ada sijil halal

Terhangat