Pengguna resah susu Farm Fresh susah nak cari, ketahui kaitannya dengan krisis Asia Barat
JENAMA susu tempatan, Farm Fresh sering menjadi pilihan pengguna kerana produk tenusunya dihasilkan segar dari ladang tempatan.
Bagaimanapun, konflik Asia Barat yang berlaku kini dilaporkan memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan sektor pengeluaran susu tempatan.
Situasi kekurangan stok susu tempatan mula dirasai pengguna apabila produk keluaran Farm Fresh dikatakan semakin sukar didapati di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

Menerusi tinjauan di platform Threads, terdapat pengguna persendirian dan peniaga berkongsi pengalaman apabila mendapati susu jenama itu cepat habis di rak jualan, malah ada yang gagal mendapatkannya selepas mencuba di beberapa premis berbeza.
Lebih membimbangkan, keadaan itu turut memberi kesan kepada ibu bapa yang bergantung kepada bekalan susu kotak dan susu bayi daripada jenama tersebut.
MENARIK DIBACA: Harga barangan harian ‘mesra rakyat’.. Ini 10 fakta menarik Madani Mart
MENARIK DIBACA: Kek coklat 'sihat' buat guna telur rebus! Tak perlu 'oven', tak guna tepung tekstur tetap lembut
Seorang pengguna meluahkan kesukaran mendapatkan produk itu walaupun mencarinya di beberapa lokasi sekitar Putrajaya.

“Dah berapa hari mencari susu Farm Fresh. Semua kedai biasa beli kat Putrajaya dan kawasan rumah, tak jumpa. Baru terbaca hari ni memang tengah tak ada stok, katanya sebab shortage supply plastic. Kafe jual kopi semua macam mana berniaga kalau susu tak ada stok? Atau ada alternatif guna jenama lain?
“Penatnya dah pergi enam cawangan 7-Eleven, habis susu Farm Fresh tu. Cashier kata customer borong!
“Pembekal susu segar (Farm Fresh, Dutch Lady, Bright Cow) sila munculkan diri anda. Saya perlukan sekitar 40 karton lagi ni. Baru dapat secure lima karton Farm Fresh je ni. Area Gombak, KL.
“Cafe owner atau barista area Putrajaya Cyberjaya, kat mana korang dapat supplier susu Farm Fresh? Meh la share," antara komen netizen.
Menurut laporan The Edge, Farm Fresh Bhd berdepan tekanan kos yang semakin meningkat serta gangguan bekalan pembungkusan akibat konflik di Timur Tengah, yang berpotensi menjejaskan jualan dan margin keuntungan.
Syarikat tenusu itu memaklumkan bahawa kos pembungkusan, logistik dan elektrik kini meningkat, dengan ketiga-tiganya menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos operasi.
Gangguan bekalan pembungkusan juga boleh memberi kesan kepada jualan produk utama syarikat.
Menurut penganalisis, gangguan yang berpanjangan boleh menyebabkan kekurangan bekalan pembungkusan secara lebih meluas dalam sektor barangan pengguna pantas (FMCG), bukan hanya terhad kepada Farm Fresh sahaja.
Sementara itu konflik semasa bukan sahaja menjejaskan bekalan minyak dan gas, malah turut mengganggu rantaian bekalan polyethylene, iaitu bahan mentah penting untuk menghasilkan resin PET.
Bahan ini digunakan secara meluas dalam pembuatan produk plastik seperti botol dan beg.
Bagi Farm Fresh, resin tersebut penting untuk pengeluaran produk susu botol satu liter dan dua liter yang menyumbang sekitar 12 hingga 13 peratus daripada hasil syarikat.
Kebergantungan kepada bahan ini menjadikan syarikat lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan kenaikan harga.