Lalat datang rumah terbuka hurung makanan? Jangan stres, halau je guna lilin dan biji kopi
LALAT sering menjadi 'tetamu tak diundang' terutama ketika musim perayaan atau majlis-majlis yang menghidangkan banyak makanan kepada jemputan.
Bukan sahaja merimaskan, kehadiran serangga ini juga boleh menjejaskan kebersihan makanan yang dihidangkan kepada tetamu.
Seorang wanita mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tip mudah dan dikatakan berkesan untuk mengelakkan lalat daripada hinggap pada makanan.
Menerusi perkongsian di laman Threads, dia menunjukkan cara unik menggunakan lilin bulat dan serbuk kopi sebagai penghalau lalat.

Menerusi paparan video tersebut, dapat dilihat wanita itu berada di sebuah majlis sambil menjelaskan cara-cara menghalau lalat.
Lilin bulat diletakkan dalam mangkuk berserta serbuk kopi di tengahnya dan setelah itu, lilin dinyalakan seperti biasa.
Difahamkan apabila lilin dibakar, bau daripada serbuk kopi yang dipanaskan itu akan membantu menghalau lalat daripada datang hinggap pada makanan.
MENARIK DIBACA: 5 menu bajet pilihan rakyat Malaysia ketika poket kering, kenyang tanpa belanja besar
MENARIK DIBACA: Tak sedar risiko... Ramai buat 5 kesilapan ini ketika simpan, kendali tong gas
Perkongsian itu turut diselitkan dengan gurauan dan juga tip daripada netizen.
"Kalau kawasan rumah mahal sikit letak kopi. Kalau kawasan rumah murah-murah letak serai. Lalat pun memilih, lalat yang dah biasa minum kopi atau tomyam mungkin tak berkesan, tengok tempat juga," antara komen netizen.

Dalam pada itu, seorang pengguna turut meninggalkan komen lebih terperinci dari sudut sains mengenai keberkesanan kaedah tersebut.
"Petua menghalau lalat menggunakan lilin dan serbuk kopi ini menggabungkan beberapa prinsip saintifik berkaitan deria serangga.
"Serbuk kopi mengandungi sebatian seperti kafein dan diterpenes (sejenis sebatian kimia semula jadi yang terdapat dalam tumbuhan). Apabila serbuk kopi dipanaskan oleh haba lilin atau dibakar, sebatian ini dibebaskan dalam kepekatan yang lebih tinggi," jelasnya.