Kenyataan ‘lelaki lagi power masak’ cetus perdebatan, netizen tak puas hati pertahan kehebatan wanita dalam dunia kulinari
PERDEBATAN mengenai siapa lebih hebat di dapur antara lelaki atau wanita kembali hangat diperkatakan di media sosial selepas satu kenyataan ringkas berhubung isu itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Topik pada awalnya sekadar pandangan peribadi akhirnya menular menjadi perbincangan lebih besar menyentuh peranan, persepsi dan pengiktirafan terhadap kemahiran memasak.
Perkongsian ringkas seorang lelaki dikenali sebagai Areeb Wahab itu telah mencetuskan perdebatan hangat selepas dia memuji kehebatan lelaki dalam dunia kulinari.
Dalam perkongsian tersebut, dia menyenaraikan beberapa nama cef lelaki terkenal sambil mempersoalkan sama ada wanita benar-benar ‘power’ dalam memasak seperti sering diperkatakan.

“Korang sedar tak lelaki power masak. KA (Khairul Aming), Che Sayang, Hamdan, Chef Wan. Perempuan? Tak power sangat pun,” tulisnya dalam hantaran itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu segera menarik perhatian ramai merasakan pandangan tersebut terlalu umum dan tidak adil terhadap wanita yang turut aktif berkongsi resepi serta memasak di media sosial.
Malah netizen turut menyenaraikan beberapa pencipta kandungan masakan wanita seperti Azie Kitchen, Che Nom, Adikfood, Limaunipis dan Anis Nabila yang dianggap banyak menyumbang kepada dunia perkongsian resepi di internet.
Menurut seorang pengguna, sejak zaman blog lagi ramai wanita mendominasi kandungan masakan dan menjadi rujukan utama bagi mereka yang ingin belajar memasak.

“Dia (lelaki itu) tengok populariti zaman TikTok saja. Padahal zaman blog dulu lagi blogger masakan wanita yang kuasai. Tak power lagi ke?” komen seorang netizen.
Dalam masa sama, ada juga yang menegaskan bahawa populariti atau personaliti di media sosial tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan siapa lebih hebat memasak.
Seorang pelajar kulinari turut memberi pandangan bahawa dalam industri dapur profesional, soal jantina bukanlah isu utama kerana semua tukang masak dinilai berdasarkan kemahiran, disiplin dan pengalaman mereka.
MENARIK DIBACA: Tekap daun kubis bantu redakan masalah bengkak susu, ikuti langkah mudah ini
MENARIK DIBACA: Cuaca tak menentu jejas jualan, ini cabaran peniaga bazar Ramadan
“Dalam kitchen tak ada perbezaan gender. Semua sama. Ada saja cef perempuan boleh kendalikan wok dan buat persediaan makanan seperti chef lelaki,” jelasnya sambil menambah faktor fizikal menyebabkan lebih ramai lelaki kelihatan dominan di dapur profesional.
Malah ada juga netizen yang berpendapat bahawa wanita sering dianggap biasa apabila pandai memasak kerana ia dilihat sebagai tanggungjawab, sedangkan apabila lelaki memiliki kemahiran sama ia dianggap sesuatu yang luar biasa.

Perkongsian tersebut terus menjadi perbincangan hangat dengan ramai bersetuju bahawa kebolehan memasak sebenarnya tidak bergantung kepada jantina, sebaliknya minat, latihan dan pengalaman seseorang di dapur.
Bagaimanapun menerusi satu lagi hantaran, lelaki berkenaan memohon maaf kepada wanita diluar sana kerana membuat kenyataan terdahulu.
"Wanita di sini dan di luar sana, kalau ayat saya mengundang rasa tak puas hati, saya mohon maaf.
"Perempuan memang 'power' masak. Termasuk mak, nenek dan makcik saya. Tapi abah, adik dan atok kalau masak lagi sedap. Terima kasih,” tulisnya.