Peniaga buka slot infak, rupanya ramai juga kurang selesa - "Tak nampak 'value' barang dijual"
SALAH satu konsep semakin popular untuk bersedekah ketika Ramadan adalah 'slot infak' dalam perniagaan.
Konsep yang diketengahkan itu lazimnya menyaksikan peniaga menawarkan peluang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan melalui pembelian produk mereka.
Namun, tidak semua individu selesa dengan konsep slot infak kerana menganggap ia hanyalah satu bentuk strategi pemasaran yang mana peniaga tidak berusaha mempromosikan keistimewaan produk.
Ada juga yang berpandangan amalan ini sebagai mengambil kesempatan atas nasib golongan miskin dan dilihat menunggang agama dengan mengaitkannya dengan pahala sedekah.
Perkara ini dibangkitkan oleh seorang pengguna Threads yang meminta pandangan netizen mengenai budaya tawaran slot infak dalam perniagaan.

Bagi dirinya, dia mengakui kurang selesa dengan budaya berkenaan walaupun tidak menolak amalan berinfak.
"Saya kurang selesa, tapi ada juga terasa seperti diri ini bermasalah," luahnya dalam satu hantaran.
MENARIK DIBACA: Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca
Susulan pertanyaan tersebut, ramai warganet tampil memberikan pendapat masing-masing.
Ada yang tidak bermasalah dengan amalan ini kerana menganggap tawaran yang dibuka memudahkan mereka untuk bersedekah dan ada juga berpendapat sebaliknya.
"Sekurang-kurangnya peniaga membuka slot infak sangat membantu pembeli ingin berkongsi rezeki. Amalan ini memberi peluang untuk menyumbang kepada golongan memerlukan tanpa perlu mengorbankan masa atau tenaga.

"Saya suka slot infak, peniaga makanan akan masakkan, pembeli beri sahaja duit. Seperti saya tak pandai masak, tapi suka menjamu orang makan jadi saya bagi duit pada kawan selalu buka slot infak.
"Saya setuju sebab tiada masa nak mencari asnaf atau anak yatim dan pergi masjid. Yang saya ada hanya duit jadi slot infak ini sangat membantu saya untuk infak. Thank you seller yang tawar servis ini," demikian antara komen netizen yang bersetuju dengan konsep ini.

Namun, pendapat berbeza muncul daripada beberapa pengguna lain yang merasakan gabungan perniagaan dan infaq adalah satu bentuk paksaan secara halus terhadap pelanggan untuk melakukan kebaikan.
"Tak nampak 'value' barang dijual. Lebih kepada 'highlight' infak. Kalau fokus kepada 'value' item tu, auto 'customer' sendiri 'offer' nak infak.
"Infak ni kalau tuan badan yang rela hati. Bukan peniaga yang menekan-nekan," antara komen netizen.
Bagi golongan peniaga pula, mereka juga ada pendapat sendiri.
"Husband pernah ajak buat, saya tolak sebab saya cakap jangan sebab nak ada sales, kita ajak orang bersedekah walaupun sedekah tu bagus. Tapi yang tak bagusnya cara kita cari sales tu. Kalau orang yang approach tak ada masalah.
"Saya peniaga tak setuju. Tak pernah promote slot infak, cuma tiba-tiba ada customer suruh infak baru bagi," antara komen peniaga.
INFAK, JUAL BELI DALAM ISLAM
Menurut laman web Emusykil Pejabat Mufti Selangor, jual beli dan infak adalah dua konsep berbeza.
Jual beli, dari segi bahasa, bermaksud menukar sesuatu dengan sesuatu lain, sementara dari perspektif syarak, ia melibatkan pertukaran harta untuk pemilikan.
Infak, dalam bahasa Arab bermaksud tabarru’, merujuk kepada pemberian ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Oleh itu, berinfak melalui wang atau nilai disepakati antara pembeli dan penjual adalah dibolehkan selagi ia dilakukan atas dasar amanah.
Penjual bertindak sebagai wakil untuk menginfaqkan harta kepada golongan memerlukan, tanpa paksaan dan perlu membuktikan bahawa infaq tersebut diserahkan.
Tidak salah untuk menawarkan slot infak, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara tidak memanipulasi kebaikan untuk keuntungan peribadi.
