"Saya tak ada duit tapi rajin dan nak cantik" - 'Effort' wanita ini buat jus retinol untuk kurus, lawa jadi perhatian
RAMAI beranggapan untuk cantik seseorang itu perlu berhabis wang membeli produk mahal, membuat rawatan wajah atau makan suplemen yang harganya mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.
Hakikatnya, terdapat petua mudah yang boleh diamalkan dari rumah menggunakan bahan-bahan dapur sahaja, semestinya lebih murah kosnya.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads dikenali sebagai Nur Shamimi, dia berkongsi rutin amalan jus ‘retinol’ semula jadi yang dikatakan membantu menaikkan seri wajah dan menjaga bentuk badan.
“Yang pemalas, duit tak banyak tapi nak cantik, nak kurus, nak body cantik, nak mulut wangi. Saya share cara sayalah ya.

“Sebab saya seorang yang tak ada duit tapi rajin dan tetap nak cantik,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Malah, wanita itu turut meluahkan kebimbangan melihat ramai kaum Hawa pada masa kini cepat nampak tua dan mudah letih walau usia masih muda.
Menurutnya, antara punca utama ialah pengambilan makanan dan minuman tinggi gula dalam kehidupan seharian.
MENARIK DIBACA: Jus kunyit bantu cerahkan kulit, kalau tak sanggup ‘telan’ boleh cuba resipi ini
MENARIK DIBACA: Resipi jus epal dan markisa kena cuba, rasa masam manis memang ngam!
Jus retinol tersebut hanya menggunakan campuran buah-buahan dan sayur-sayuran yang mudah didapati seperti lobak merah, oren, lemon dan epal.
Campuran bahan-bahan itu juga sebenarnya kaya dengan pelbagai vitamin yang baik untuk tubuh misalnya, lobak merah mengandungi beta karotena yang membantu kesihatan kulit dan mata, selain kaya antioksidan.
Oren dan lemon pula mengandungi vitamin C yang membantu mencantikkan kulit serta memberikan rasa lebih segar.
Epal pula terkenal dengan kandungan serat dan antioksidan yang baik untuk sistem penghadaman dan kesihatan badan secara keseluruhan.

Berikut cara penyediaan jus retinol yang dikongsikan Shamimi:
- Masukkan lobak merah, oren, lemon dan epal ke dalam pengisar.
- Kisar sehingga halus.
- Tapis dan masukkan jus ke dalam jag.
- Minum segelas setiap pagi.
- Hampas yang tinggal selepas ditapis juga jangan dibuang kerana boleh dijadikan skrub badan.