Video warga Indonesia guna gula paket Malaysia undang persoalan - "Macam mana boleh jual dekat sana?"
KEWUJUDAN barangan subsidi Malaysia di negara jiran sering menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.
Terbaharu, satu video daripada pempengaruh Indonesia mencetuskan perdebatan apabila wanita dari Kalimantan itu dilihat menggunakan gula paket, dipercayai jenama Malaysia ketika membancuh kopi dalam periuk di tepi sungai.
Situasi itu menimbulkan persoalan ramai memandangkan gula paket yang merupakan salah satu barangan subsidi kerajaan Malaysia sepatutnya dikawal penjualannya.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Hazwani Razak turut meluahkan rasa hairan selepas melihat kandungan video tersebut.

"Aku tak faham, bila tengok content orang seberang masak-masak ada gula subsidi kita. Bila komen tanya katanya memang banyak dijual dekat tempat mereka (Indonesia).
"Macam mana gula bersubsidi boleh dijual dekat sana?" tulisnya, musykil.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya mendakwa situasi berkenaan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.
MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae
MENARIK DIBACA: Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!
"Bukanlah, syarikat gula kita pun eksport gula ke luar negara. Pembungkusan pun sama. Nak harap orang Malaysia saja beli, mana 'tokey' nak jadi terkaya dalam Malaysia," tulis seorang netizen.
Seorang lagi warganet berpendapat subsidi gula wajar dihapuskan bagi mengurangkan ketirisan selain mengawal kadar pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Tu sebab aku setuju subsidi gula dihapuskan supaya rakyat Malaysia kurangkan penggunaan gula dalam minuman dan makanan.
"Bila dah kurang sakit akibat gula berlebihan, duit subsidi itu boleh disalurkan untuk kemudahan lain dan tidak tiris kepada warga asing,” katanya memberi pendapat.
Selain itu, ada juga netizen mendakwa pernah melihat warga asing membeli gula pasir dalam kuantiti banyak sebelum dipos ke negara asal mereka.

Malah, ada individu mendakwa minyak masak subsidi Malaysia mudah ditemui di Thailand dan Indonesia.
"Normal kak. Hari tu saya pergi Thailand, pemandu tuk-tuk selamba angkut berkotak-kotak minyak masak subsidi Malaysia.
"Indonesia pun sama, berlambak barang kita dekat sana," dakwa seorang lagi netizen.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, ramai berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan bantuan dan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati rakyat tempatan.