Perancis bukan lagi paling hebat, Korea Selatan juara pertandingan bakeri dunia
KOREA Selatan mencipta sejarah apabila muncul juara, sekali gus menewaskan pasukan gergasi dari Eropah dalam pertandingan bakeri paling berprestij dunia, Bakery World Cup 2026.
Kejayaan ini diraih pada edisi ke-13 Bakery World Cup 2026 berlangsung selama dua hari sempena pameran industri pastri terbesar, Sirha Bake & Snack 2026 di Perancis pada 23 Januari lalu.
Pertandingan ini turut menyaksikan Korea Selatan berjaya mengatasi sembilan negara lain termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Denmark, Brazil, Senegal dan Maghribi.

Selaku tuan rumah, Perancis berada di kedudukan kedua dan diikuti Taiwan di kedudukan ketiga.
Korea Selatan diwakili oleh tiga pembuat roti berkemahiran, Seok Yong Hwang bagi kategori pembuatan roti manakala Yong Hwan Choi (hasil seni bakeri) dan Myung Gi Kim (viennoiserie atau pastri berlapis).
MENARIK DIBACA: Sama tapi tak serupa, warna cili benggala berbeza rasa dan tekstur
MENARIK DIBACA: Lembutnya sampai tak terasa ketika ditelan, 'Khanom leum kleun' semakin diminati di Malaysia
Ketiga-tiga mereka bekerjasama menyempurnakan empat cabaran utama menguji ketepatan teknik dan kreativiti.

Menurut laporan Pasticceria Internazionale, pertandingan Bakery World Cup tahun ini mengetengahkan tema ‘The Great Inventions of Your Country’, memerlukan setiap pasukan menampilkan identiti negara masing-masing melalui hasil seni roti berskala besar.
Karya tersebut perlu boleh dimakan sepenuhnya, mempunyai ketinggian antara 140cm hingga 160cm dan dihasilkan menggunakan sekurang-kurangnya lima jenis adunan berbeza.
Kejayaan ini dianggap istimewa buat Korea Selatan yang membuktikan kemajuan berterusan industri pastri Asia mendominasi dunia dengan gabungan teknik, kreativiti dan budaya.
