Perang dunia kedua punca popcorn popular di pawagam, asalnya diberi percuma
POPCORN atau bertih jagung antara snek popular yang menjadi pilihan ketika menonton filem di pawagam.
Snek diperbuat daripada biji jagung itu memiliki rasa manis dengan tekstur gebu serta rangup yang membuatkan ramai tak boleh berhenti ketika memakannya.
Seiring peredaran masa, bertih jagung memiliki banyak varian rasa seperti karamel, coklat, keju serta beberapa perisa 'rare' antaranya matcha.

Bertih jagung sebenarnya sudah wujud dan dijadikan makanan sejak 6,000 tahun lalu di bahagian Amerika Utara, tepatnya di Mexico.
Berdasarkan bukti dan penemuan ahli arkeologi, penyelidik menemui sisa bertih jagung di sebuah gua yang terletak di New Mexico yang dianggarkan berusia 5,000 hingga 6,700 tahun.
Kajian mendapati, bertih jagung tersebut adalah milik suku asli Amerika seperti Aztec, Inca dan Maya yang digunakan untuk tujuan makanan harian, hiasan serta kegiatan ritual.
MENARIK DIBACA: [V] 90 minit rentasi zaman Dinasti China, Xuyan Immersive Dining gabung seni dan makanan
MENARIK DIBACA: Kepala hampir botak akibat rambut gugur, 2 bahan ini kembalikan keyakinan anda
Masyarakat di zaman itu sangat menghargai jagung kerana menjadi salah satu makanan asas mereka bahkan dianggap mempunyai kuasa ghaib.
Dikatakan, bertih jagung terhasil secara tidak sengaja apabila dikatakan bijinya yang dijemur dan dikeringkan terjatuh ke dalam api lalu meletup dan menjadi bertih.
Kejadian tersebut sekali gus menyebabkan masyarakat Amerika purba ketika itu menganggap bertih jagung yang terhasil sebagai 'hadiah' dikurniakan buat mereka.

Dalam kehidupan masyarakat moden, bertih jagung mula dikomersialkan sebagai snek pada abad ke-19 apabila makanan ringan itu mula menjadi kegemaran ramai sekitar tahun 1840-an sehingga 1890-an.
Mesin bertih jagung pertama dicipta oleh Charles Creators dengan menggunakan tenaga wap pada tahun 1885 dan diperkenalkan di World's Columbian Exposition pada 1893.
Kemuncak bertih jagung adalah pada era Perang Dunia Kedua iaitu sekitar 1930-an apabila harganya menjadi sangat murah.

Pada masa sama, bisnes pawagam terjejas teruk akibat peperangan pada ketika itu hampir 'gulung tikar'.
Sebagai langkah menyelamatkan perniagaan pawagam yang hampir muflis itu, orang ramai telah ditawarkan bertih jagung secara percuma, sehingga snek jagung itu menjadi simbol identik jika menonton filem di pawagam pada hari ini.
Secara ringkas, bertih jagung telah melalui proses evolusi yang panjang daripada sisa makanan purba kepada snek global ikonik selepas bertih jagung dikomersialkan pada akhir abad ke-19.