Saiznya mungkin kecil, pisang mas muncul terbaik di dunia
SIAPA sangka, buah kecil berwarna keemasan sering menghiasi dunia kulinari lokal kini mencipta sejarah di pentas dunia.
Pisang mas yang terkenal dengan rasa manis semula jadi dan tekstur berkrim diangkat sebagai pisang terbaik dunia menewaskan sembilan variasi lain termasuk dari Sepanyol, England, Indonesia dan India.
Dalam senarai 10 Pisang Terbaik Dunia dikeluarkan TasteAtlas, pisang mas dikenali kerana saiznya lebih kecil dan langsing berbanding pisang lain.

Kebiasaannya, pisang ini berukuran antara empat hingga enam inci panjang dan amat digemari kerana rasanya yang manis persis madu.
Selain itu, Pisang Mas juga mempunyai profil rasa halus hampir seperti bunga.
Kulitnya nipis dengan isi kurang padat berbanding pisang bersaiz besar menjadikan tekstur pisang mas unik dan menyenangkan apabila dimakan.
MENARIK DIBACA: Enam jenis bunga ini boleh dimakan! Cef tunjuk cara buat manisan memikat selera
MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan
Maka tidak hairan, ia cukup popular dijadikan pisang goreng, cekodok dan bubur kerana keistimewaan rasanya.
Jika dibanding Pisang Mas dengan pisang berasal dari negara lain seperti Platano de Canarias, Sepanyol, ia menonjol dari segi rasa yang berbeza.
Berada di kedudukan kedua terbaik dunia, biarpun turut berasal dari negara beriklim hangat, platano de canarias memiliki rasa manis dengan sedikit masam semula jadi hasil dari tanah vulkanik Kepulauan Canary.

Selain itu, bagi pisang berada di kedudukan ketiga terbaik, cavendish dari England menjadi pilihan untuk pasaran global kerana ketahanannya semasa penghantaran jarak jauh.
Teksturnya lebih padat berbanding Pisang Mas memberikan rasa manis sederhana tanpa aroma bunga kuat sesuai dijadikan smoothie atau digunakan dalam pencuci mulut klasik seperti roti pisang.
Berbeza pula dengan pisang raja dari Indonesia berada di kedudukan keempat lebih dikenal kerana tekstur lembut dengan rasa sedikit manis menjadikannya pilihan sempurna untuk dinikmati segar ataupun digoreng.