Tiada penyesalan tinggalkan karier doktor gigi, Pastribella kebahagiaan sebenar Dr. Ezani
MENINGGALKAN profesion doktor gigi yang stabil dan bergaji tetap mungkin dilihat sebagai satu keputusan berani atau gila.
Tetapi bagi Dr. Ezani Farhana Md Monoto yang juga juara MasterChef Malaysia 2012, itulah langkah paling bermakna dalam hidupnya.
Kini pada usia 40 tahun, Dr. Ezani tidak lagi berada di klinik, tetapi sibuk menguruskan kafe miliknya, Pastribella, yang telah menjadi nama dikenali dalam dunia pastri tempatan.
Selepas enam tahun mengusahakannya, beliau akhirnya menemui kepuasan sebenar dan melakukan apa yang dicintai setiap hari.

“Apabila saya letak jawatan pada 2018, barulah saya bersedia untuk serius dalam dunia F&B,” ujar Dr. Ezani kepada Kuali.
Beliau sedar, perniagaan makanan tidak boleh dilakukan sambil lewa, apatah lagi jika ia membawa namanya sendiri.
Bersama rakan kongsi, beliau memastikan setiap aspek operasi Pastribella dijaga rapi. Ia bukan sekadar pelaburan wang, tetapi juga pelaburan hati dan jiwa.
Dari sebuah outlet kecil di Cyberjaya pada 2019, Pastribella kini berkembang ke Wangsa Melawati yang menjadi bukti dedikasi dan kerja keras bertahun-tahun.
MENARIK DIBACA:Keputusan tinggalkan karier doktor akhirnya ada kemanisan, gerai nasi padang pemuda ini kini jadi sebutan ramai
MENARIK DIBACA:‘Mola-mola’ hanya buat video masak, sekarang Kakcik Yah sibuk reviu makanan... Ada sanggup datang rumah hantar produk!
Sebelum membuka kedai fizikal, Dr. Ezani memulakan langkah kecil dengan menjual kek dan pastri hasil air tangannya sendiri di festival makanan.
Daripada situ katanya, dia banyak belajar tentang selok belok perniagaan dan paling penting memahami selera pelanggan terhadap pastri.
“Saya belajar tentang selera pelanggan, operasi, dan cabaran sebenar dalam bisnes makanan daripada pengalaman tu.
“Bila pelanggan suka, mereka datang semula. Itu yang buat saya terus semangat, walaupun kadang-kadang letih,” katanya.
Kalau rindu, saya scaling gigi anak-anak dan suami
Dr Ezani Farhana
Juara Masterchef Malaysia 2012
Cinta Dapur Sejak Kecil
Minat Dr. Ezani dalam dunia masakan bukan baru muncul selepas menang MasterChef. Malah, segalanya bermula sejak kecil, di sisi arwah ibunya di dapur.
“Masa belajar di luar negara pun, saya makin rajin memasak sebab rindu suasana rumah.
“Bila kawan-kawan suka masakan saya, itu jadi satu kepuasan,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata ini.
Uniknya, Dr. Ezani tidak pernah menuntut ilmu secara formal dalam bidang kulinari. Semua kemahiran datang secara semula jadi dan dipertajam melalui pengalaman serta eksperimen.
“Saya tak ada latar belakang chef profesional. Saya masak sebab minat, dan belajar sendiri. Jadi, saya ikut cara saya,” katanya merendah diri.

Simpan ilmu perubatanuntuk keluarga
Lulusan pergigian dari Universiti Adelaide, Australia, ini memulakan kerjaya sebagai doktor gigi pada 2013.
Meskipun sudah meninggalkan bidang itu, Dr. Ezani masih menggunakan kemahirannya—tetapi hanya untuk orang tersayang.
“Kalau rindu, saya scaling gigi anak-anak dan suami. Kadang-kadang pergi klinik kawan-kawan, tapi saya sendiri yang buat,” katanya sambil ketawa.
Namun, beliau akui tidak lagi berhasrat untuk kembali ke kerjaya asal.

“Saya dah ketinggalan jauh. Lagipun, saya dah jumpa apa yang saya suka buat sekarang.”
Bagi Dr. Ezani, keputusan meninggalkan dunia pergigian bukan satu penyesalan, tetapi pintu kepada kebahagiaan yang sebenar.
“Saya bersyukur dengan apa yang saya pilih. Setiap hari saya bangun buat benda yang saya suka. Itu lebih bernilai daripada segala-galanya,” ujarnya penuh semangat.
Dari klinik ke kafe, kisah Dr. Ezani membuktikan bahawa kadangkala, untuk mengejar impian, kita perlu berani lepaskan apa yang 'selamat' dan memilih apa yang benar-benar buat hati gembira.