Tiada lagi aiskrim, cokelat dan gula-gula... Ini senarai 12 jenis makanan dan minuman dilarang jual di sekolah
BAGI memastikan murid-murid membesar dengan sihat dan cergas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual di sekolah.
Langkah ini bertujuan melindungi generasi muda daripada risiko penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, serta masalah kesihatan lain yang berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat.
Tindakan KPM ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membentuk gaya hidup sihat sejak dari bangku sekolah, selain menjamin masa depan negara yang lebih cemerlang dari segi kesihatan.
Berikut adalah 12 jenis makanan dan minuman yang dilarang sama sekali dijual di sekolah:

1. Makanan & Minuman Tamat Tempoh / Berbentuk Permainan
Di bawah Peraturan Makanan 1985, sebarang makanan atau minuman yang sudah tamat tempoh atau berbentuk mainan diharamkan sama sekali bagi mengelakkan keracunan dan tabiat makan yang tidak sihat.

2. Makanan Proses
Kentang goreng, sosej, nuget, burger dan bebola — semua ini nampak menarik, tapi sebenarnya menyumbang kepada masalah kesihatan jika diambil berlebihan.

3. Makanan Ringan
Keropok, kerepek, dan snek tinggi garam serta perisa tiruan bukan sahaja tiada khasiat, malah boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang.

4. Gula-gula & Cokelat
Tinggi gula, rendah nutrien. Penjualannya di sekolah boleh menyebabkan pengambilan gula berlebihan dalam kalangan murid.

5. Makanan Jeruk
Jeruk buah-buahan mengandungi garam dan gula yang sangat tinggi – meningkatkan risiko kanser perut dan diabetes.

6. Makanan Berkrim & Bersalut Gula
Kek krim, roti manis, donut – semua ini kelihatan menyelerakan, tapi dilarang kerana kandungan gula yang tinggi.

7. Produk Segera
Mi segera, bubur segera, ramen – walaupun mudah disediakan, ia tinggi bahan pengawet dan MSG yang tidak baik untuk kesihatan murid.

8. Aiskrim & Konfeksi Air
Aiskrim dan produk sejuk manis mengandungi gula tinggi dan boleh merosakkan gigi – sebab itu ia tidak dibenarkan dijual di sekolah.

9. Minuman Berperisa (Isotonik, Tenaga, Karbonat, Herba)
Minuman seperti ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan tidak sesuai untuk murid sekolah.

10. Minuman Bertopping / Segera (3 dalam 1)
Kordial manis, krimer dan minuman 3-in-1 turut tersenarai dalam kategori minuman yang perlu dijauhkan dari kantin sekolah.

11. Teh & Kopi
Minuman berkafein seperti teh dan kopi tidak dibenarkan untuk murid sekolah. Namun, ia masih dibenarkan untuk guru.

12. Makanan & Minuman Beralkohol
Sudah tentu, sebarang bentuk makanan atau minuman beralkohol dilarang sepenuhnya kerana bertentangan dengan undang-undang, nilai moral dan agama.