Semua restoran Ikea Malaysia dapat sijil halal Jakim
SEMUA restoran, kafe dan bistro Ikea Malaysia memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Rabu.
Pengarah Runcit Negara Ikea Malaysia, Malcolm Pruys berkata, syarikat itu sudah lama mempraktikkan halal sejak hampir tiga dekat ia beroperasi dan sijil halal secara rasmi itu adalah komitmen terhadap piawaian serta keselamatan makanan.
Malcolm berkata, pensijilan yang diperoleh itu adalah sebagai tanda penghormatan kepada kepercayaan, budaya dan tuntutan agama masyarakat tempatan.

"Halal bagi kami bukan sekadar pematuhan, tetapi soal kepercayaan dan penghormatan. Dengan kerjasama Jakim, kami memastikan kawalan penuh terhadap perolehan bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan," katanya.
Malcolm berkongsi perkara itu pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia Ikea Malaysia di Cheras pada Rabu.
Majlis penyerahan pensijilan halal kepada Ikea telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Noor Haslina Osman.
MENARIK DIBACA: [V] 10 tahun menetap di Malaysia, Tya Ariffin masih tak reti makan nasi kandar kuah banjir
MENARIK DIBACA: Ada sebab tak digalak minum air sejuk kalau batuk, benda manis pun kena elak kalau nak cepat sembuh
Tambahnya, usaha itu juga selari dengan misi Ikea untuk menjadikan pengalaman menjamu selera lebih inklusif, mudah diakses dan berpatutan, selain memperkenalkan pilihan makanan lestari serta mengurangkan pembaziran.
Katanya, pencapaian ini diperoleh selepas pemeriksaan ketat oleh Jakim, termasuk menilai sumber bahan mentah, proses penyediaan makanan dan tahap kemahiran pekerja.
Menurutnya, Ikea juga telah melantik duta halal di setiap cawangan bagi memastikan proses latihan pekerja berjalan berterusan, selain mendidik vendor termasuk pembekal bukan makanan mengenai maksud pematuhan halal di premis syarikat itu.

"Dari sudut bahan mentah, makanan kami sememangnya halal sejak awal lagi. Cuma bangunan dan operasi dalaman belum disahkan.
"Jadi, perubahan terbesar adalah mendidik pekerja serta memastikan setiap ruang operasi memenuhi piawaian yang ditetapkan," jelasnya.
Beliau menambah, kejayaan Ikea Malaysia ini turut menjadi contoh kepada rangkaian Ikea di seluruh dunia mengenai kepentingan halal, khususnya untuk pasaran Asia dan Asia Barat.
Dengan empat cawangan utama iaitu Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan, Ikea Malaysia yakin pengiktirafan halal ini akan memperkukuh ikatan dengan rakyat Malaysia yang menjadikan hidangan mereka sebahagian daripada gaya hidup seharian.