62 air balang percuma sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025
SIAPA di sini penggemar air balang?
Air balang bukan sekadar minuman biasa, ia sudah menjadi ikon rasa dan budaya Malaysia.
Dari pagi hingga petang, di tepi jalan atau pasar malam, air balang sentiasa menjadi peneman setia yang menyejukkan dan menyegarkan tekak.

Dengan pelbagai pilihan rasa seperti sirap bandung, jagung, cincau, dan banyak lagi, air balang terus digemari oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira usia atau latar belakang.
Kalau minum percuma, siapa yang tak nak kan?
Justeru, bersempena meraikan semangat perpaduan rakyat dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Air Selangor memperkenalkan kempen unik “62 Air Balang untuk Malaysia”.
MENARIK DIBACA: Tak payah beli produk mahal! Daun ketumbar dan jintan manis boleh hilangkan mulut berbau
MENARIK DIBACA:Harga cekik darah kalau beli di festival makanan, tak susah pun buat puding pisang!
Inisiatif ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian rasa air balang yang sinonim dengan rakyat Malaysia, malah mengajak semua untuk bersama-sama meraikan kekayaan budaya dan keunikan warisan tempatan melalui setiap gelas yang diminum.
Setiap balang air dalam kempen ini mencerminkan keunikan rasa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.
Ia bukan sekadar minuman, tetapi simbol perpaduan serta tanggungjawab bersama untuk memastikan sumber air sentiasa terpelihara.

Menariknya, sebagai sokongan kepada acara ini, Air Selangor akan menyediakan lebih 15,000 liter air terawat melalui lori tangki dan tangki statik di lokasi yang bakal diumumkan kelak.
Kempen ini juga bersandingan dengan acara ikonik Keretapi Sarong 2025 yang berlangsung pada 13 September 2025, perarakan tahunan yang mempamerkan warisan budaya negara melalui pakaian tradisional dan perjalanan menaiki pengangkutan awam.
Selain memperkenalkan pelbagai minuman tradisional yang unik, pengunjung di reruai Air Selangor juga akan dapat menikmati aktiviti menarik seperti pameran edukasi tentang proses rawatan air, kuiz interaktif berkaitan kelestarian, dan permainan santai untuk seisi keluarga.