KUALI | Sajian Warung

Guna resipi turun temurun, rahsia kedai Sate Padang Pak Saf penuh pelanggan

Lead Image

BAGI yang gemar mencari makanan enak di Kampung Baru, Kuala Lumpur pasti pernah singgah ke port Sate Padang yang mampu membawa lidah kita ‘terbang’ terus ke Sumatera Barat.

Mengekalkan rasa autentik sejak lebih 30 tahun lalu, Sate Padang Pak Saf masih setia menggunakan resipi turun-temurun tanpa sebarang pengubahsuaian sehingga membuatkan rasanya masih sama.

Berbeza daripada kebanyakan sate yang dibakar berjus dan berlemak, Sate Padang secara tradisional dibakar sedikit kering. 

Ini kerana ia akan dipadankan dengan kuah kuning pekat ketika dihidang yang mencipta keseimbangan rasa tersendiri.

Kuah pekat kaya dengan rasa rempah ratus yang membangkitkan selera.

Meskipun teksturnya tidak begitu 'juicy' seperti sate biasa, daging dan ayam tetap diperap semalaman bagi memastikan rempahnya meresap dan melembutkan setiap serat daging.

Tekstur sate yang dijual di sini bukan sahaja menepati standard sebenar Sate Padang, malah ia cukup empuk, tidak liat dan mudah digigit.

Elemen utama yang menjadikan hidangan ini benar-benar berbeza dari tempat lain sudah tentulah kuah kuningnya yang pekat dan memikat selera.

Dalam setiap suapan, anda akan merasai aroma rempah ratus seperti kunyit, lengkuas, halia dan lada yang digiling halus dan sempurna.

MENARIK DIBACA: [V] Karya seni dalam pinggan di Grey Cafe, bukan sekadar gabungan 2 budaya

MENARIK DIBACA: Imbau nostalgia di Restoran Rebung Cef Ismail

Rasa rempah ratus menyengat lembut di hujung lidah serta memberikan sensasi pedas manja yang tidak ketara.

Tekstur kuah yang likat dan tidak cair menjadikannya ‘melekat’ cantik pada sate dan nasi impit apabila dituang. 

Ia bukan sekadar pencicah, tetapi benar-benar memainkan peranan utama dalam keseluruhan rasa. Pendek kata, kuahnya adalah bintang sebenar dalam setiap pinggan Sate Padang.

Dari segi harga, RM7 sepinggan boleh dikatakan berpatutan, apatah lagi dengan kualiti rasa yang begitu memuaskan.

Saiz hidangan lengkap dengan lima cucuk sate dan beberapa keping nasi impit.

Malah saiz hidangan juga lengkap dengan lima cucuk sate dan beberapa keping nasi impit yang cukup mengenyangkan perut.

Lebih istimewa, anda boleh menjamu selera sambil menikmati panorama malam kota Kuala Lumpur dengan KLCC terpacak megah di depan mata.

Untuk tempahan dan pertanyaan, sila hubungi 013-644 2064.

Lokasi: Jln Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu (5 petang - 11.30 malam)

 

 

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Sajian Warung

[V] Dari jauh baunya menusuk hidung, sup rawon Kak Nita guna tulang lembu dan tetel bangkit aroma

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Sajian Warung

Menu juara medan selera, ikan bakar petai banjir jadi kegilaan pelanggan

Terhangat