Iman Nasi Kukus syurga masakan autentik Kelantan, pelbagai pilihan buat rambang mata
JIKA rindukan masakan asli Kelantan, jangan gusar sebab di tengah-tengah Kuala Lumpur ada sebuah kedai makan yang menyediakan pelbagai hidangan autentik dari negeri Pantai Timur itu.
Rasanya pula tidak perlu dipertikaikan, bukan sahaja autentik tetapi persis rasa air tangan ibu.
Biarpun restorannya kelihatan sederhana tetapi setiap menu di Iman Nasi Kukus yang terletak di Taman Dagang, Kuala Lumpur memang menggoda selera.
Setiap hidangan seolah-olah membawa pulang ke dapur kampung halaman dengan rasa asli dan sarat nostalgia.

Sebaik melangkah ke kedai ini, aroma rempah menyengat di hidung dan membuatkan perut berkeroncong.
Antara tarikan utama di Iman Nasi Kukus sudah tentu kepelbagaian pilihan nasi seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi kukus serta nasi berlauk.
Lauk-lauk disediakan pula merangkumi pelbagai pilihan seperti lemak daging, daging lembu, ayam dan ikan.

Kesemuanya dimasak menggunakan rempah dibawa khas dari Kelantan menjadikan masakan Iman Nasi Kukus lebih asli, pekat dan kaya dengan aroma sama seperti masakan di rumah ibu.
Bertambah menarik, menu nasi dagang di sini berbeza daripada kebiasaan kerana tidak menggunakan beras pulut sebaliknya digantikan dengan basmathi.
Tapi jangan risau, rasa nasi dagang di sini tetap lemak, lembut dan harum. Digandingkan pula dengan gulai ikan tongkol dimasak sempurna cukup memikat selera.
MENARIK DIBACA: [V] Burasak dan lepat lui juadah Bugis ‘rare’… Cicah dengan rendang ayam daun maman memang mantap!
MENARIK DIBACA: [V] Mi bandung udang galah hanya RM15, rasa asli macam makan dekat Muar
Bagi pencinta nasi kerabu pula pasti tertarik dengan rasa kelapa parut dibuat sendiri, memberikan rasa segar dan lemak semula jadi.
Apabila digabungkan dengan budu, ulam-ulaman segar serta lemak lembu bakar berjus, setiap suapan terasa begitu padu dan menyelerakan.
Pilihan nasi kukus pula tidak kurang hebatnya. Nasi lembut digandingkan dengan isi ayam empuk bersama sayur tauge memberikan keseimbangan rasa ringkas tetapi sedap.

Nasi campur disediakan juga didatangkan dengan pelbagai pilihan lauk pauk asli Kelantan.
Antaranya gulai ayam kaya rempah dengan pelbagai lauk tambahan lain boleh dipilih mengikut selera. Setiap lauk dimasak dengan teliti bagi memastikan rasa konsisten dan memuaskan.
Iman Nasi Kukus sememangnya destinasi wajib bagi yang merindui masakan Kelantan autentik jika anda ke Taman Dagang.

Lokasi: Iman Nasi Kukus, Gerai No 3, Taman Selera MPAJ, Taman Dagang, Ampang, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Sabtu hingga Khamis, 7 pagi hingga 2 petang
Tonton video penuh di YouTube Kuali.