[V] Rizal Rasid rindu popia goreng Brunei, ‘jatuh cinta’ keunikan rasa satar Malaysia
"JUADAH saya nanti-nantikan ketika puasa kalau balik ke Brunei ialah popia goreng."
Itu kata penyanyi yang juga anggota kumpulan Alpha, Rizal Rasid apabila ditanya mengenai perbezaan juadah puasa di Brunei dan juga Malaysia.
Rizal atau nama sebenarnya Muhammad Rizal Azhiman Mohd Rasid ketika ditemui Kuali memberitahu tidak banyak perbezaan sambutan puasa antara dua negara ini memandangkan ia merupakan negara serumpun.
Namun, sebagai anak jati kelahiran Brunei, juadah popia dianggap istimewa baginya dan akan diburu setiap kali tiba Ramadan.

"Sebenarnya di Brunei lebih kurang sama sahaja dengan Malaysia dari segi makanan, tradisi dan pakaian.
"Kalau tanya saya juadah yang saya nanti-nantikan ketika Ramadan adalah popia goreng.
"Dekat Brunei ada macam-macam jenis popia yang susah nak jumpa di Malaysia seperti popia carbonara, popia salted egg dan popia honey garlic chicken," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Memasak pun boleh 'top up' pahala... Ini amalan, cara nak beribadah di dapur
MENARIK DIBACA: [V] Yusuf Bahrin kenang zaman nakal ponteng puasa... “Gigi depan saya patah gara-gara ayam goreng”
Bercerita lebih lanjut, lelaki berusia 30 tahun itu turut mengakui sangat suka mengunjungi bazar Ramadan, malah sanggup meredah lautan manusia demi memburu makanan kesukaan.
"Saya memang sangat suka pergi bazar dan sanggup meredah kesesakan dengan orang ramai walaupun ketika panas terik.
"Sebab bazar di Malaysia ada banyak makanan yang tidak ada di Brunei.
"Itu yang membuatkan saya boleh 'explore' ke banyak bazar Ramadan demi mencari makanan-makanan menarik," jelasnya.

Ditanya makanan Malaysia yang menjadi kegemarannya, bekas pramugara itu mengakui jatuh cinta dengan makanan asal Terengganu iaitu satar goreng.
Kata penyanyi berkulit cerah itu, satar goreng dirasakan sangat sedap, tambahan pula dibalut dengan kulit popia yang sememangnya menjadi makanan kegemarannya.
"Makanan unik di Malaysia ada banyak, tapi salah satu yang saya suka ialah satar goreng.
"Saya tak pernah jumpa lagi hidangan sebegini (satar goreng) di Brunei.
"Saya baru makan baru-baru ini dah rasanya sangat unik dan sedap. Saya sangat suka!" kata Rizal.